PETALING JAYA – Tindakan segelintir jemaah masjid didakwa mengambil makanan dengan jumlah yang banyak, namun tidak menghabiskannya dan dibuang di dalam tong sampah, mengundang kemarahan orang ramai.
Menerusi hantaran dimuat naik oleh pengguna Thread Khairuljazam, dia berkongsi makanan roti canai yang masih elok di dalam bekas, namun dibuang ke dalam tong sampah apabila tidak dihabiskan.
“Kepada yang datang berbuka, moreh, sahur di Masjid Shah Alam, jangan lah ada sikap macam ni. Ambil makanan banyak lepas tu bila tak habis buang. Tak rasa bersalah langsung.
“Kasihan ada jemaah lain yang kemudian tak dapat makanan. Sudahnya cuma dapat minum air je. Ni semalam punya cerita. Roti canai buang dua, tiga set juga ni. Membazir sungguh,” katanya.
Perkongsian itu mengundang kemarahan orang ramai dengan sikap segelintir masyarakat yang suka membazir, terutama bagi umat Islam di bulan Ramadan ini.
“Mentaliti tamak satu faktor. Makanan percuma, kalau boleh semuanya nak ambil. Banyak berlaku di mana-mana masjid,” komen pengguna Thread Deaz550.
“Perangai macam ni kat mana-mana pun ada. Pergi kenduri kahwin, ambil makanan banyak-banyak. Lepas tu tak habis, tak ada adab,” kata It Me0303.
“Masalah orang kita kalau benda percuma. Kalau tak habis makan di masjid, kenapalah tak bawa balik saja? Tak mampu makan banyak, ambil secukupnya sudahlah. Ingat orang belakang sama. Kalau pergi kenduri kahwin, sedih tengok orang makan kuih tak habis. Kasihan tuan rumah, tempah kuih mahal-mahal untuk tetamu, tapi tetamu buang macam tu je,” kata Wanakmal wz. – KOSMO! ONLINE














