PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung menerusi panggilan telefon dengan Perdana Menteri Bangladesh yang baharu, Tarique Rahman hari ini.
Menurut Anwar, beliau menyampaikan ucapan tahniah atas mandat besar yang diperoleh Tarique dalam Pilihan Raya Parlimen ke-13 baru-baru ini.
“Saya turut menzahirkan penghormatan kepada rakyat Bangladesh atas kematangan mereka mempertahankan proses demokrasi yang berlangsung secara aman dan teratur,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.
Perdana Menteri berkata, Malaysia menantikan kerjasama erat dengan kepimpinan baharu Bangladesh dalam memperkukuh serta mengangkat hubungan dua hala ke tahap yang lebih tinggi.
Kata Anwar, beliau turut mengambil kesempatan menjemput Tarique untuk mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia pada masa yang sesuai.
“Semoga hubungan persahabatan Malaysia dan Bangladesh terus diperkukuh demi manfaat bersama kedua-dua negara,” katanya. – KOSMO! ONLINE














