PETALING JAYA – Masih ramai peniaga di bazar Ramadan di beberapa negeri gagal meletakkan tanda harga pada juadah yang dijual menyebabkan pelanggan terkeliru dan berkemungkinan tertipu.
Namun, rata-rata peniaga yang ditemui memberi alasan terlupa untuk berbuat demikian kerana semalam adalah hari pertama Ramadan, selain ada juga ber-anggapan pelanggan sudah sedia maklum harga jualan berdasarkan pengalaman tahun-tahun sebelum ini.
Dalam tinjauan di Bazar Ramadan Stadium Shah Alam kelmarin mendapati, segelintir peniaga masih gagal mempamerkan tanda harga sedangkan ia diwajibkan, sekali gus menimbulkan persoalan terhadap kepekaan terhadap aspek pematuhan peraturan.
Ia melibatkan peniaga makanan seperti kuih-muih, tauhu bergedil, ayam penyet dan air balang sekali gus menyukarkan pengguna membuat perbandingan harga.
Rata-rata mereka memberi alasan ia hari pertama operasi perniagaan dan terlupa untuk berbuat demikian.
“Terlupa pula bawa dan letak. Hari pertama biasalah, hari seterusnya kami letak,” kata mereka ketika ditemui Kosmo!
Bagaimanapun, pengunjung, Iman Nizam, 20, menyifatkan alasan itu tidak munasabah kerana paparan harga hak pengguna dan satu kewajipan peniaga.
Menurutnya, terdapat juga tanda harga yang tertutup dengan kain rentang hingga pengguna terpaksa menyelak untuk mengetahui harga sebenar.
Di George Town, Pulau Pinang pula mendapati, tindakan peniaga yang gagal mempamerkan tanda harga menyukarkan pelanggan terutama yang sedang berjimat cermat dan mengatur perbelanjaan harian.
Tinjauan pada hari pertama Ramadan di kawasan pusat bandar dan daerah Barat Daya di sini mendapati, hampir kebanyakan peniaga langsung tidak meletakkan tanda harga kecuali kod respons pantas (QR).
Dalam 20 gerai yang beroperasi di bazar Ramadan terbabit, cuma lima atau enam premis sahaja yang menyediakannya.
Malah ada peniaga yang ditemui mendakwa mereka tidak sempat mempamerkan tanda harga disebabkan terlalu kalut dan terpaksa mengejar masa, selain ada yang memberi alasan terlupa serta tertinggal di rumah.
Seorang pelanggan, Hairy Ali, 38 berkata, tindakan peniaga bazar Ramadan yang tidak mempamerkan tanda harga pada jualan makanan dan minuman di gerai jualan memberi kesukaran kepada pelanggan membuat pembelian.
“Saya terpaksa buat bajet kewangan dan beli juadah dengan harga ‘mampu makan’. Ini kerana, duit belanja mampu bertahan sampai hujung bulan.
“Tak mungkin kami ajukan soalan sama (harga makan) setiap kali singgah di gerai,” katanya.
Dalam pada itu, dalam tinjauan di Gua Musang, Kelantan, terdapat beberapa gerai menjual kuih-muih dan air tidak mempamerkan harga secara jelas menyebabkan pelanggan terpaksa bertanya terlebih dahulu sebelum membuat pembelian.
Seorang pengunjung, Muhamad Abdul Hafiz Yaacob, 25, berkata, ketiadaan tanda harga menyukarkan orang ramai membuat perbandingan harga antara gerai bagi mengawal perbelanjaan.
“Kalau ada tanda harga senang kami pilih tanpa perlu bertanya peniaga. Bila tak letak kena tanya satu-satu dan ambil masa lebih-lebih lagi waktu orang ramai,” katanya.
Baru-baru ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memberi amaran tegas kepada peniaga bazar Ramadan supaya mematuhi peraturan termasuk meletakkan tanda harga atau berdepan tindakan dalam tempoh 24 jam.














