SELEPAS tiga dekad kematian vokalis Nirvana, Kurt Cobain, muncul laporan forensik yang mendakwa kematian pemuzik terkenal itu bukan akibat bunuh diri.
Ditemui tidak bernyawa di rumah kaca kediamannya di Seattle pada 5 April 1994 pada usia 27 tahun, seorang penyiasat bebas, Michelle Wilkins menyatakan terdapat kesan pembunuhan dalam kes tersebut.
Wilkins bersama pasukan forensik swasta menyemak semula hasil autopsi dan kes dari lokasi kejadian serta membuat kesimpulan mendiang Cobain menjadi mangsa pembunuhan.
Dakwaan itu bagaimanapun ditolak Jabatan Polis Wilayah Seattle yang menegaskan luka tembakan di kepala ikon rock itu dilakukan sendiri menggunakan senapang.
Wilkins berkata, ahli forensik Brian Burnett menyampaikan kesimpulan berbeza setelah tiga hari menyemak bukti.
Menurutnya, menerusi siasatan yang dilakukan, terdapat 10 bukti menyimpulkan Cobain berada dalam keadaan tidak sedar, diberi heroin berlebihan sebelum ditembak di kepala.













