KLANG – Dua sahabat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual terhadap seorang remaja perempuan berusia 14 tahun, dua minggu lalu.
Muhammad Irfan Mohamad Rahim dan Ahmad Hamzi Alias masing-masing berusia 26 tahun membuat pengakuan itu selepas dua pertuduhan berasingan dibacakan dihadapan Hakim Siti Aminah Ghazali mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017.
Mengikut pertuduhan, Muhammad Irfan seorang eksekutif jualan didakwa mencium pipi, leher dan meraba buah dada mangsa, manakala Ahmad Hamzi yang juga penuntut sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) didakwa atas dua pertuduhan sama namun melibatkan tarikh berbeza.
Perbuatan itu dilakukan di dalam bilik sebuah rumah di Bandar Puncak Alam masing-masing pukul 3 petang, 6 Februari dan 5.30 pagi, 7 Februari lalu.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan keseluruhan RM8,000 bagi Muhammad Irfan manakala RM7,000 kepada Ahmad Hamzie dengan seorang penjamin dan kedua-dua mereka diperintah melaporkan diri setiap bulan di balai polis berdekatan selain tidak mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan sehingga kes selesai.
Sebutan semula kes ditetapkan 9 April depan. – KOSMO! ONLINE














