fbpx
SEKTOR pembinaan mendapat permintaan tinggi untuk tenaga kerja warga asing. – GAMBAR HIASAN

Ringgit kukuh, sindiket makin ligat buat kerja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JOHOR BAHRU – Pengukuhan nilai ringgit Malaysia berban­ding rupiah Indonesia dikesan dimanipulasi oleh sindiket penyeludupan mig­ran bagi memperdaya warga Indonesia untuk memasuki negara ini secara haram.

Modus operandinya adalah dengan mempromosikan tawaran gaji lumayan di Malaysia iaitu antara RM1,500 hingga RM1,800 sebulan atau antara 6.43 juta rupiah hingga 7.80 juta rupiah kepada warga Indonesia yang terdesak untuk mencari rezeki.

Jumlah pendapatan sebesar itu sudah cukup menjadi umpan psikologi yang mempengaruhi keputusan warga Indonesia untuk memasuki Malaysia meskipun secara haram.

Pelaksana Fungsi Penera- ng­an, Sosial dan Budaya Konsul Jenderal Republik Indonesia (KJRI) Johor Bahru, Erry Kananga berkata, sin­diket memanfaatkan situasi itu dengan menawarkan pakej kemasukan ke Malaysia tanpa prosedur sah, kononnya termasuk pengurusan permit kerja dan tempat tinggal serta urusan pasport.

“Setelah mereka membayar dengan jumlah tertentu kepada sindiket, pihak berkenaan akan menguruskan perjalanan untuk memasuki negara Malaysia melalui lorong-lorong tikus.

“Apabila sampai di sini (Malaysia), mereka akan diserahkan kepada ejen atau tekong darat sebelum dihantar ke tempat-tempat kerja mereka,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Erry Kananga berkata, tawaran kerja tersebut giat dipromosikan melalui media sosial seperti Facebook dan TikTok dengan iklan pekerjaan sebagai pembantu kedai, pekerja ladang, operator kilang, buruh binaan serta pembantu rumah.

Jelasnya, sindiket juga dipercayai mengenakan bayaran antara ratusan hingga ribuan ringgit bagi setiap individu untuk urusan perjalanan melalui laluan tidak rasmi.

“Permintaan sentiasa ada kerana perbezaan nilai mata wang. Bila ringgit kukuh, mereka akan lebih agresif merekrut. Ini yang menjadikan kegiatan itu seperti ‘bisnes bermusim’ terutama menjelang Ramadan dan Aidilfitri,” katanya.

Tambahnya, kebanyakan mangsa tidak memahami sepenuhnya prosedur sah untuk be­kerja di luar negara dan mudah percaya dengan janji gaji lumayan tanpa menyemak kesahihan tawaran.

Situasi tersebut bukan sahaja membuka ruang kepada eks­ploitasi buruh, malah mendedahkan migran kepada risiko ditahan, didenda atau dihantar pulang oleh pihak berkuasa imigresen.

Erry Kananga berkata, berdasarkan statistik, warga Indonesia yang ditangkap pihak berkuasa Malaysia adalah seramai 2,789 orang pada tahun 2025.

Jumlah itu meningkat berbanding tahun 2024 yang hanya merekodkan 2,200 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan.

Mengulas lanjut, Erry Kananga berkata, hasil semakan itu mendapati kebanyakan PATI yang ditahan adalah mereka yang berasal dari Barat Indonesia yang merangkumi Pulau Suma­tera, Jawa dan

Kalimantan serta Timur Indonesia yang terdiri daripada Kepulauan Maluku, Papua, Nusa Tenggara, dan Sulawesi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN