fbpx
Francis Xavier

Pantau kilang e-waste di kawasan kampung – Aktivis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GEORGE TOWN – Pertubuhan Damai Revolusi Masyarakat menggesa pihak berkuasa menggandakan operasi pemantauan terhadap kilang-kilang kitar semula yang berselindung disebalik kegiatan haram pengimportan sisa elektronik (e-waste) terutama di kawasan kampung.

Pengerusinya, L. Francis Xavier berkata, ini susulan penguatkuasaan larangan mutlak import e-waste berkuat kuasa 4 Februari lalu, selaras usaha memperketatkan kawalan kemasukan sisa berbahaya serta melindungi alam sekitar.

Dakwanya, terdapat segelintir kilang yang mempunyai lesen kitar semula tetapi dipercayai terlibat dengan aktiviti haram termasuk pengimportan e-waste di beberapa lokasi terpencil seperti Ipoh, Pulau Pinang, Sungai Petani dan Kulim.

“Jabatan Alam Sekitar (JAS) perlu turun padang dan menyemak lesen-lesen berkaitan pengurusan sisa termasuk lesen SW110 digunakan mengikut syarat ditetapkan serta tidak dimanipulasi untuk menjalankan operasi yang bercanggah dengan keputusan kerajaan.

“Tindakan ini perlu dijalankan secara bersepadu kerana kita nampak tindakan agensi seperti Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) sangat tegas sebelum ini berjaya menumpaskan penyeludupan e-waste di Port Klang serta menutup kilang haram di Telok Panglima Garang,” katanya di sini, hari ini.

Dalam pada itu, katanya lagi, pihaknya berharap agar usaha dalam membanteras kilang haram dan penyalahgunaan lesen perlu dijalankan secara menyeluruh, tanpa kompromi dan berintegriti.

Terdahulu, media melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan AKPS bersama agensi berkaitan memperhebatkan operasi terhadap kegiatan e-waste secara haram di negara ini.

Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd. Zain dilaporkan berkata, Perdana Menteri mahu AKPS untuk bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta agensi-agensi berkaitan bagi membanteras kegiatan itu.

Baru-baru ini, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menzahirkan amaran bahawa lebih ramai lagi di dalam ‘radar’ Seri Paduka Baginda dalam misi memerangi rasuah tanpa kompromi di semua jabatan serta agensi kerajaan.

Seri Paduka Baginda bertitah, rasuah adalah pengkhianatan terhadap amanah rakyat dan tidak akan sama sekali ditoleransi dalam pentadbiran negara. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN