SEREMBAN – Satu sindiket pengedaran dadah tumpas melibatkan rampasan syabu bernilai RM1.56 juta yang terbesar setakat ini dalam operasi bersepadu di Kilometer 236.9 Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan baru-baru ini.
Operasi itu dilaksanakan hasil risikan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Negeri Sembilan dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Rembau dengan dibantu Pasukan Peronda Lebuh Raya (EMPV) Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, dalam operasi itu, dua lelaki berusia dalam lingkungan 30-an yang juga rakan sejak sekolah ditahan pada pukul 3 petang ketika menaiki kereta sewa jenis Perodua Bezza.
Pemeriksaan ke atas but kereta menjumpai 30 bungkusan berisi syabu seberat 30,601 gram.
Dadah itu dibungkus menggunakan pembungkusan teh Cina bagi mengelirukan pihak berkuasa,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, di sini hari ini.
Menurut beliau, dadah itu boleh digunakan kira-kira 30,000 penagih sekiranya terlepas di pasaran.
Siasatan awal mendapati sindiket tersebut aktif sejak tahun lalu dan suspek dipercayai berperanan sebagai ‘transporter’ dengan membawa bekalan dari Puchong, Selangor untuk diedarkan ke kawasan selatan.
“Suspek pertama memiliki dua rekod kes dadah dan satu kes jenayah, manakala suspek kedua mempunyai empat rekod dadah dan satu rekod jenayah. Kedua-dua suspek yang berasal dari Batu Pahat, Johor positif methamphetamine,” katanya. – KOSMO! ONLINE
.














