MANCHESTER – Bekas penyerang Manchester United, Louis Saha menggesa kelab itu mencuba dengan segala daya untuk mendapatkan khidmat bintang muda Chelsea, Cole Palmer.
Menurutnya, Palmer dianggap sebagai persiapan terbaik untuk mereka kehilangan khidmat ketua pasukan, Bruno Fernandes yang sudah berusia selain kemungkinan beralih mencari destinasi baharu karier.
Fernandes masih dianggap tonggak penting United, namun kegagalan kelab itu meraih lebih banyak trofi mungkin menyebabkan pemain itu cuba mendapatkan pilihan yang lebih baik pada masa akan datang.
“Kami menghormati Bruno, dia seorang pemain luar biasa. Namun, dia mungkin sedang mempertimbangkan masa depan ketika cara INEOS mengendalikan kelab itu dianggap sukar diramal,” katanya.
Sebelum ini, Fernandes telah menolak tawaran mewah daripada Al Hilal untuk kekal di Old Trafford dan enggan membincangkan masa depannya sehingga saingan Piala Dunia 2026 berakhir.
Situasi itu menyebabkan Saha percaya bahawa Palmer adalah pilihan terbaik untuk United bawa masuk bagi mengisi kekosongan ditinggalkan Fernandes.
“Sangat mengagumkan jika dapat melihat Palmer di United, ia peluang yang terbaik. Dia bukan lagi pemain Manchester City. Dia mampu bermain di mana sahaja untuk bahagian serangan,” jelasnya. – AGENSI














