BACHOK – Kegembiraan 20 ahli keluarga beriadah di Pantai Kandis, Jelawat di sini hari ini berakhir dengan tragedi apabila dua beradik termasuk seorang anggota bomba hilang dihanyut ombak ketika cuba menyelamatkan anak saudara mereka yang nyaris lemas.
Dalam kejadian pukul 5.15 petang itu, Ahmad Badrul Naim Ab. Wahab, 32, yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat Bayan Baru, Pulau Pinang dan adiknya, Ahmad Nurudin, 21, hilang selepas anak saudara mereka, Mohd. Ali Al Imran Mohd. Ezad, 12, berjaya diselamatkan oleh bapa kanak-kanak tersebut.
Ibu mangsa, Sawidah Mamat, 65, berkata, dia bersama 20 ahli keluarga dari Jitra, Kedah melawat saudaranya di Pasir Puteh sempena cuti Tahun Baharu Cina sebelum berkelah di pantai tersebut.
Katanya, Ahmad Badrul pulang ke kampung bersama isteri dan dua anak, manakala Ahmad Nurudin pula baru tamat pengajian Kolej Teknologi Tinggi Jabatan Tenaga Manusia Kampus Kedah.
Sementara itu, bapa Mohd. Ali Al Imran, Mohd. Ezad Abu Hassan, 40 berkata, ketika kejadian, anaknya mandi bersama beberapa ahli keluarga lain sebelum dia melihat Ahmad Nurudin dan anaknya dihanyutkan ombak.
Katanya, menyedari kejadian itu, dia dan Ahmad Badrul Naim bergegas ke pantai untuk menyelamatkan mereka. Ketika kejadian ombak Pantai Kandis dilaporkan sangat tinggi dan kuat.
“Anak saya menjerit minta tolong, saya nampak mereka berdua sudah berada di tengah. Saya sempat capai anak dan bawa ke tepi pantai, namun Ahmad Badrul Naim dan adiknya hilang dihanyutkan ombak,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, operasi mencari mangsa dijalankan kira-kira 10 kilometer menghala ke Pantai Tok Bali dan 7 kilometer ke Pantai Melawi. Operasi akan disambung esok sekiranya mangsa masih belum ditemui. – KOSMO! ONLINE














