LONDON – Pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Arsenal berpeluang melebarkan jurang kepada tujuh mata di puncak carta apabila bertandang menentang Wolverhampton Wanderers di Stadium Molineux awal pagi esok.
Skuad kendalian Mikel Arteta hadir dengan momentum positif selepas melangkah ke pusingan kelima Piala FA hasil kemenangan 4-0 ke atas Wigan, sekali gus mengekalkan aspirasi memburu kejuaraan liga pertama dalam tempoh lebih dua dekad.
Arsenal turut memiliki rekod memberangsangkan apabila hanya tewas sekali dalam 11 aksi liga terakhir, namun keputusan seri 1-1 menentang Brentford sebelum ini memberi ruang kepada pencabar terdekat merapatkan jurang, menjadikan pertemuan di Molineux sebagai misi wajib menang.
Rekod juga memihak kepada The Gunners apabila mereka memenangi 14 aksi liga berturut-turut menentang pasukan di zon penyingkiran dengan agregat jaringan 40-4, selain menang sembilan daripada 11 kunjungan terakhir ke Molineux.
Arsenal turut menjaringkan gol dalam 36 pertemuan berturut-turut menentang Wolves dalam semua kejohanan, sekali gus memperlihatkan konsistensi jentera serangan yang menjadi tunjang kekuatan musim ini.
Sebaliknya, Wolves bimbingan Rob Edwards masih bergelut di tangga tercorot liga dengan hanya sembilan mata setakat ini dan berdepan ancaman penyingkiran, meskipun berjaya mara ke pusingan kelima Piala FA selepas menewaskan Grimsby Town.
Dengan baki 12 perlawanan musim ini, kemenangan di Molineux bukan sekadar tiga mata buat Arsenal, tetapi peluang penting untuk menghantar mesej jelas mereka benar-benar bersedia menamatkan penantian panjang menjulang trofi liga. – AGENSI














