fbpx
Norida (kanan) ketika ditemui di Kampung Bukit Sapi, Lenggong kelmarin.

Selepas 18 tahun, akhirnya dapat sambut puasa di negara sendiri – Norida

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LENGGONG – Wanita Malaysia yang hidup dalam kesusahan di Lombok, Indonesia sejak 18 tahun lalu bersyukur kerana dapat menyambut Ramadan di tanah air sendiri tahun ini.

Norida Akmal Ayob, 45, mengikuti bekas suaminya yang merupakan warga Indonesia ke negara itu pada tahun 2008 dan membawa anak sulung mereka yang ketika itu berusia dua tahun.

“Perasaan saya sudah tentu sangat gembira kerana dapat menyambut Ramadan di kampung halaman bersama ahli keluarga setelah sekian lama menetap di Lombok,” katanya ketika ditemui di Lenggong, kelmarin.

Kisah wanita itu mendapat perhatian ramai disebabkan kepayahan hidupnya menyebabkan dia tidak dapat pulang ke Malaysia atas faktor  kewangan, selain dakwaan dihalang daripada berbuat demikian.

Usaha gigih ahli keluarganya di Kampung Bukit Sapi untuk mengesan Norida akhirnya membuahkan hasil dengan bantuan Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah yang juga Timbalan Menteri Dalam Negeri.

Norida yang dipanggil mak cik di Lombok, tiba  di Malaysia pada Sabtu lalu bersama anak perempuannya yang kini berusia 20 tahun.

Norida memberitahu, antara kekangan utama yang dihadapinya adalah wang kerana untuk pulang Malaysia ia memerlukan perbelanjaan yang besar.

“Saya terpaksa tinggal di sana (Lombok), nak mendapatkan wang memang sulit (sukar),” katanya.

Norida menganggap dirinya umpama ‘terlepas dari kandang harimau’ apabila dapat kembali ke Malaysia.

Sepanjang berada di Lombok, wanita itu berkata, dia hanya bergantung dengan pendapatan sebagai pekerja di premis kecil-kecilan.

“Saya dan anak bergelut dengan masalah kewangan dan mengharapkan simpati daripada penduduk setempat untuk meneruskan hidup,” katanya.

Norida mempunyai seorang lagi anak lelaki di Indonesia yang tidak dapat mengikutinya pulang ke Malaysia kerana remaja itu berstatus warga Indonesia.

Dia tidak menolak kemungkinan akan kembali ke Lombok untuk melawat anaknya selain mengunjungi kenalan yang banyak membantunya selepas berpisah dengan bekas suami. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN