PETALING JAYA – Kisah seorang wanita warga Malaysia yang terkandas selama 18 tahun di Lombok sebelum dibantu Kerajaan Malaysia mendapat pelbagai respons dalam kalangan rakyat Indonesia.
Menerusi perkongsian kisah Norida Akmal Ayob, 45, di akaun Instagram Nowdots, rakyat negara jiran meninggalkan pelbagai komen termasuk bersimpati dengan nasib wanita dari Perak itu, selain malu atas kejadian berkenaan.
Dalam masa sama, ada yang berterima kasih kepada Kerajaan Malaysia atas keprihatinan membawa pulang Norida bersama anaknya bagi meneruskan kehidupan di Malaysia.
“Itulah fungsi negara dan begitulah seharusnya negara kerana kalau tidak begitu, untuk apa dibuat negara,” kata pengguna Arraka Official.
“Rakyat Malaysia yang ekonomi rendah tidak akan sanggup hidup susah pada keadaan sistem Indonesia. Beda (beza) dengan hidup di Malaysia meskipun rakyatnya susah, tapi tetap bisa (boleh) sejahtera dan makmur.
“Sekolah anak benar-benar gratis (percuma) tanpa dipungut sumbangan atau uang (wang). Banyak hal dipermudah oleh pemerintah (kerajaan) Malaysia dan juga perlindungan hukum (undang-undang) yang jelas,” kata Vienny WR.
“Terima kasih Malaysia menjadi teladan pemerintah,” balas Salsabila Ain Syirahh.
“Prihatin banget (sangat) pemerintahnya, aku iri (cemburu),” komen Rike Khoir.
“Sederhana, tapi bikin malu satu negara,” kata Footykaze.
Sebelum ini, Kosmo! melaporkan, Norida tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang pada Sabtu lalu setelah 18 tahun menetap di Lombok kerana mengikuti bekas suaminya warga Indonesia bersama anaknya, Nur Fateen Akmadiana, 20, yang ketika itu berusia dua tahun.
Bagaimanapun, Norida berpisah dengan lelaki itu dan terpaksa menjalani kehidupan bersendirian dalam kesusahan dengan bekerja sebagai tukang sapu.
Norida memiliki dua anak iaitu Nur Fateen Akmadiana yang dilahirkan di Malaysia, manakala seorang lagi, Muhamad Sabani Daniel dilahirkan di Indonesia.
Usaha membawa pulang Norida dilakukan keluarganya termasuk mendapatkan bantuan Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah yang juga Timbalan Menteri Dalam Negeri. – KOSMO! ONLINE














