SHAH ALAM – Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengaktifkan Audit Kecemasan bagi memeriksa keseluruhan pokok matang di zon terlibat susulan insiden pokok tumbang di Persiaran Tun Arshad Ayub, Seksyen 7, di sini.
Pengarah Korporat dan Perhubungan Awam (MBSA), Mohd. Fauzi Aziz Maamor berkata, kerja penyelenggaraan berkala telah dilaksanakan sepanjang tahun lalu di laluan tersebut.
Katanya, ini merangkumi pemangkasan kanopi, pengurangan beban dahan, penebangan pokok mati serta pemantauan visual berkala terhadap pokok matang.
“Puluhan pokok telah dipangkas dan pokok mati ditebang mengikut keperluan teknikal pada awal Februari sebelum kejadian berlaku.
“Bagaimanapun, susulan insiden ini, Audit Kecemasan diaktifkan sebagai langkah tambahan bagi memastikan tahap keselamatan pokok berada pada kawalan optimum,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau memaklumkan arborist bertauliah dilantik menjalankan pemeriksaan teknikal terperinci meliputi penilaian kesihatan struktur, pemeriksaan sistem akar, pelaksanaan penandaan pokok (tree tagging), pengesahan status risiko serta pengemaskinian data Sistem Maklumat Geografi (GIS).
Laporan profesional lengkap bersama cadangan mitigasi turut akan disediakan.
“Sebarang pokok yang dikenal pasti berisiko tinggi akan diambil tindakan serta-merta termasuk pemangkasan pengurangan kanopi atau penebangan pencegahan.
“Penilaian risiko pokok ini dilaksanakan berdasarkan pemerhatian fizikal meliputi tanda reput atau rekahan batang,
keadaan kanopi tidak seimbang, serangan penyakit atau perosak, kecondongan abnormal serta keadaan tanah di pangkal pokok,” jelasnya.
Tegasnya, pihaknya memandang serius kejadian berkenaan dan komited memastikan langkah susulan dilaksanakan secara teliti, proaktif dan berperingkat demi menjamin keselamatan serta kesejahteraan orang awam.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan dua pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) cedera selepas kenderaan pelbagai guna jenis Mitsubishi Xpander dinaiki mereka dihempap pokok tumbang di laluan berkenaan dalam kejadian kira-kira pukul 12.11 tengah hari semalam.
Kedua-duanya iaitu Dr. Nur Shahidah Ab. Aziz, 39, luka di di bahagian kepala dan muka manakala Dr. Shareena Fairuz Abdul Manaf, 42, cedera di bahagian pinggang. Mereka merupakan pensyarah Fakulti Kejuruteraan Kimia, UiTM Shah Alam. – KOSMO! ONLINE














