fbpx
ANTARA peralatan mencuri kabel dan kenderaan yang dirampas polis susulan tangkapan sindiket curi kabel di Jalan Temenggkng Ahmad, Parit Jawa, Muar, kelmarin.

Tiga lelaki kantoi curi kabel, positif dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MUAR – Cubaan tiga lelaki mencuri kabel milik Telekom Malaysia (TM) gagal apabila dua kenderaan dinaiki mereka terbabas ke dalam kebun kelapa sawit selepas dikejar polis dalam kejadian di Jalan Temenggong Ahmad, Parit Jawa, awal pagi kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.51 pagi itu, pusat kawalan daerah menerima panggilan kecemasan berhubung aktiviti mencurigakan berhampiran Jambatan Parit Kassim.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, anggota mengesan dua kenderaan dalam keadaan mencurigakan digunakan suspek untuk memunggah kabel yang dipotong.

“Namun, suspek bertindak melarikan diri sebelum kedua-dua kenderaan terbabas masuk ke dalam parit di kawasan kebun kelapa sawit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Raiz, seorang lelaki berusia 35 tahun berjaya ditahan di lokasi kejadian manakala dua lagi meloloskan diri ke dalam kebun sawit yang gelap dan berlumpur.

Bagaimanapun, tindakan pantas Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar berjaya menjejaki dan memberkas dua lagi suspek pada hari sama di kawasan berhampiran.

“Hasil ujian saringan air kencing mendapati ketiga-tiga suspek positif dadah jenis methamphetamine dan direman selama empat hari bagi membantu siasatan,” ujarnya.

Dalam serbuan tersebut, polis merampas sebuah Mitsubishi Triton dan Honda City Hatchback, 86 batang kabel pelbagai ukuran, beberapa telefon bimbit serta peralatan pemotong kabel.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379 dan Seksyen 431A Kanun Keseksaan serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN