PETALING JAYA- Kawasan sekitar Seksyen 7 termasuk Central i-City Mall di Shah Alam dilaporkan dilanda banjir kilat susulan hujan lebat yang melanda beberapa kawasan di Seksyen 26 dan Kampung Melayu Subang, petang tadi.
Menerusi beberapa perkongsian tular di media sosial, orang ramai memaklumkan keadaan air naik dengan cepat sehingga menjejaskan laluan kenderaan di sekitar pusat beli-belah berkenaan.
“Serious ahh brooo. Aku kat office nak balik Seksyen 7 ni dari Seksyen 13,” komen bunkkkkk.
“Uishhhh dekat Seksyen 24 ni tak hujan lebat dan sekejap je.. Dekat Seksyen 7 sampai banjir ehh.. Ni biasanya kes longkang laaa ni,” kata mo_yazid07.
“Nasib baik la tak pergi lepas maghrib tadi,” tulis makeupby_rayna.
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, panggilan kecemasan berhubung kejadian banjir kilat di Kampung Melayu Subang diterima pada pukul 8.30 malam.
Katanya, pihak bomba akan terus melakukan pemantauan berkala di lokasi bagi memastikan keselamatan penduduk terjamin.
Orang ramai dinasihatkan agar kekal tenang namun waspada sekiranya hujan kembali lebat. – KOSMO! ONLINE














