ESKALATOR atau tangga bergerak lazimnya digunakan di pusat beli-belah, lapangan terbang, stesen kereta api dan bangunan awam.
Biarpun banyak digunakan di seluruh dunia, namun siapa sangka eskalator mampu menjadi mercu tanda luar biasa di kawasan bandar Chongqing, China.
Seorang jurucakap Kementerian Luar China di Facebook mengejutkan dunia apabila mendedahkan eskalator yang digelar sebagai Eskalator Shennu (Dewi) di daerah Wushan itu memiliki panjang hampir satu kilometer iaitu 905 meter.
Ciptaan spektakular itu merupakan sistem eskalator berbumbung di bandar pergunungan dengan ketinggian menegak kira-kira 242 meter atau bersamaan ketinggian bangunan 80 tingkat.
Memandangkan permukaan laluan di kawasan tersebut berbukit dan dikenali sebagai sebahagian wilayah Three Gorges (Tiga Gaung), kewujudan eskalator berkenaan sangat membantu penduduk setempat.

Eskalator yang dibuka kepada orang awam (percubaan) pada bulan lalu itu menghubungkan tebing Sungai Yangtze (kawasan pelabuhan kapal persiaran dan bot pelancong) ke pusat bandar Wushan di kawasan pergunungan.
Dengan adanya eskalator tersebut, orang ramai boleh bergerak dari kawasan rendah ke tempat tinggi tanpa kebergantungan kepada kenderaan bermotor seperti di kebanyakan tempat.
Biasanya, perjalanan mendaki bukit di kawasan itu mengambil masa selama satu jam berjalan. Namun kini, orang ramai hanya mengambil masa kira-kira 20 minit untuk sampai ke puncak dengan menaiki eskalator berkenaan.
“Ini merupakan salah satu kejuruteraan yang hebat, sekali gus menjadi daya tarikan baharu pelancong dari dalam dan luar China.
“Ramai tidak menyangka, eskalator ini mampu dibangunkan di kawasan bandar yang berbukit,” katanya kepada portal, iChongqing.
Digelar sebagai Sky Ladder atau ‘Tangga Langit’, eskalator tersebut direka untuk beroperasi pada ketinggian luar biasa, keadaan cuaca berubah-ubah serta aliran penggunaan tinggi.
ESKALATOR Shennu dibangunkan menggunakan sistem struktur keluli bertetulang, motor berkuasa tinggi, sistem brek dan keselamatan berlapis bagi memastikan kestabilannya di kawasan curam.
Dengan memiliki ketinggian 905 meter, eskalator itu tergolong antara tangga bergerak di luar bangunan tertinggi di dunia (bagi kawasan bandar).

Bahkan apabila dibuka secara rasmi, eskalator ini bakal dinobatkan sebagai eskalator bandar terpanjang dunia, mengatasi eskalator Center-Mid-Level di Hong Kong sepanjang 800 meter.
Malah, Eskalator Shennu menjadi simbol keupayaan teknologi China dalam kejuruteraan infrastruktur bandar.
Kemudahan itu dibangunkan dengan gabungan 21 unit eskalator yang berkemampuan menampung sehingga 50,000 penumpang sehari.
Sistem berkenaan juga direka untuk meminimumkan penggunaan tanah dan kerosakan ekologi berbanding pembinaan jalan raya berlingkar atau terowong.
Langkah tersebut dilihat selari dengan pendekatan pembangunan lestari yang semakin ditekankan oleh pihak berkuasa China, khususnya di kawasan pelancongan seperti Wushan.
China sememangnya mempunyai kepakaran hebat dalam pembinaan eskalator gergasi. Selain Shennu, terdahulu, Eskalator Lingshan turut pernah menarik perhatian dunia kerana menyandang gelaran eskalator terpanjang di dunia bagi binaan luar.
Dengan panjang keseluruhan mencecah sehingga 1,236 meter dan ketinggian vertikal sejauh 267.5 meter, Lingshan menyamai bangunan 88 tingkat.
Menjadi eskalator gunung yang paling menakjubkan di China, perjalanan ke puncak yang dahulunya mengambil masa mendaki selama dua atau tiga jam, kini boleh dilakukan dalam 10 hingga 30 minit sahaja.
Dibangunkan dengan gabungan 50 unit eskalator, Lingshan membentuk laluan seperti ‘naga keluli’ di lereng gunung.

Menurut MetroTV, setiap satu unit eskalator memiliki panjang sekitar 50 meter, sekali gus menjadi laluan inisiatif ke puncak.
Menariknya, eskalator yang terletak di Jiangxi, Timur China itu turut menjadi daya tarikan pelancongan domestik dan luar negara. Mula dibuka secara rasmi pada Ogos tahun lalu, ekalator itu membawa pengunjung ke puncak
Gunung Lingshan terutama Kawasan Pemandangan Lingshan.
Untuk makluman, Gunung Lingshan terkenal dengan keindahan alam semula jadi dengan 72 puncak dan 108 formasi batuan yang menyerupai bentuk manusia serta haiwan termasuk watak legenda dewi sedang tidur (sleeping goddess).
Menurut laporan media tempatan, eskalator tersebut dibina dengan menggunakan gabungan material tahan karat dan sistem pemanasan pintar bagi memastikan ia tetap berfungsi walaupun dalam keadaan salji tebal.
Penggunaan keluli tahan karat jenis mirrorinox pada struktur luar dan panel mampu menghalang karat akibat kelembapan tinggi terutama ketika musim sejuk atau hujan.
Sementara itu, kerangka utama eskalator disalut dengan zink melalui proses celupan panas untuk melindungi struktur keluli daripada pengoksidaan dalam jangka masa panjang. Bahagian anak tangga pula diperbuat daripada aluminium ringan dengan permukaan anti gelincir.
Secara keseluruhannya, pembangunan Eskalator Shennu dan Lingshan membuktikan bahawa eskalator bukan hanya kemudahan asas di dalam bangunan.
Sebaliknya, kemudahan itu telah berkembang menjadi penyelesaian kejuruteraan berskala mega yang mampu mengubah landskap pergerakan manusia di kawasan mencabar.
Lebih daripada sekadar kemudahan pengangkutan, kedua-dua eskalator ‘gergasi’ itu bukan sekadar memendekkan masa perjalanan. Sebaliknya, ia berperanan sebagai pemangkin pembangunan sosioekonomi dan pelancongan setempat menerusi peningkatan kebolehcapaian orang ramai.














