PERUBATAN nuklear merupakan salah satu cabang perubatan moden yang menggunakan sejumlah kecil bahan radioaktif yang selamat dikenali sebagai radiofarmaseutikal untuk tujuan diagnosis dan rawatan pelbagai penyakit.
Meskipun kaedah berkenaan telah lama diperkenalkan di Malaysia, namun Presiden Persatuan Perubatan Nuklear & Molekul Malaysia Pengimejan (MSNMMI), Dr. Mahayuddin Abdul Manap tidak menafikan masih terdapat sebilangan masyarakat tidak menyedari atau memahami tentang teknologi rawatan tersebut.
Disebabkan itu, MSNMM mengambil pendekatan memperkenalkan laman web MyNuCLEaR yang menjadi platform digital, sekali gus inisiatif bagi mendidik khalayak dalam memahami dan mengakses rawatan khusus berkaitan perubatan nuklear.
Kata Mahayuddin, salah satu kelebihan utama perubatan nuklear ialah keupayaannya menghasilkan pengimejan fungsi iaitu kaedah yang membolehkan doktor melihat bagaimana organ dan tisu dalam badan berfungsi bukan sekadar bentuk fizikalnya.
Langkah tersebut berupaya mengenal pasti penyakit lebih awal sebelum perubahan struktur berlaku di samping boleh menjadi rawatan bersasar terutamanya dalam rawatan kanser dan beberapa penyakit kronik lain.
“Di sinilah MyNuCLEaR memainkan peranan penting dalam landskap gaya hidup kesihatan moden yang dibangunkan oleh MSNMMI dengan kerjasama Kementerian Kesihatan.
“Platform ini berfungsi sebagai pusat sehenti digital yang menghubungkan pesakit, profesional kesihatan, fasiliti rawatan dan penyelidik di seluruh negeri.
“Pendekatan ini selari dengan trend gaya hidup masa kini yang menuntut maklumat pantas, tepat dan mudah diakses di mana-mana sahaja tanpa mengira jurang lokasi serta masa,” katanya ketika ditemui dalam majlis sidang media MyNuCLEaR di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Laman web yang diperkenalkan sejak tahun lalu itu bukan sahaja dilengkapi dengan maklumat tentang rawatan nuklear tetapi turut menyediakan direktori fasiliti perubatan nuklear di seluruh negeri termasuk jenis rawatan yang disediakan tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada rujukan tidak rasmi atau maklumat sembarangan.
Maklumat tersenarai juga lebih efisien apabila pengguna hanya perlu memilih sama ada lokasi, pilihan rawatan, kategori perkhidmatan dan jenis penyakit.
“Akses kepada maklumat yang tersusun ini membantu pengguna membuat keputusan kesihatan lebih yakin dan terdapat juga informasi gaya hidup kesedaran kendiri dan pengurusan kesihatan proaktif.
“Pesakit juga boleh mendapatkan sebarang maklumat berkaitan rawatan hanya di satu platform tanpa perlu mencari di laman berbeza.
“Pada masa akan datang, beberapa ciri lain dijangka akan dipertingkatkan seperti sokongan kumpulan pesakit, komunikasi pakar secara masa nyata dan penambahan-penambahan lain dibuat dari semasa ke semasa bagi membangunkan lagi kesedaran masyarakat tentang rawatan perubatan nuklear serta kemudahan rawatan,” katanya.
MyNuCLEaR turut membuka ruang kepada pendedahan inovasi terkini seperti theranostik yang merupakan gabungan diagnosis dan rawatan secara lebih tepat.

Sebagai contoh, dalam kes kanser prostat, teknik Pengimejan Antigen Membran (PSMA) membolehkan doktor mengesan tumor kecil yang sukar dikesan sebelum ini dan seterusnya melakukan terapi radioligand bagi menyasarkan sel kanser secara langsung.
Dengan cara itu rawatan menjadi lebih berkesan dengan kesan sampingan yang lebih minimum sekali gus meningkatkan kualiti hidup pesakit.
Selain memberi manfaat kepada pesakit, platform MyNuCLEaR yang boleh dilayari di www.msnmmi.org.my/mynuclear juga menyokong pembangunan profesional dan inovasi jangka panjang termasuk pendidikan berterusan serta sokongan kepada penyelidikan.
Inisiatif tersebut dapat membantu memastikan tenaga pakar tempatan sentiasa bersedia menghadapi cabaran teknologi perubatan masa depan yang secara tidak langsung menyumbang kepada ekosistem kesihatan lebih mampan dan berdaya saing.














