fbpx
Dua tertuduh yang dibawa ke Mahkamah Seksyen Pasir Mas hari ini.

Dua mekanik didakwa seludup empat PATI warga China, Myanmar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PASIR MAS – Dua mekanik didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menyeludup empat pendatang asing tanpa izin (PATI) warga China dan Myanmar di Kampung Tujuh dekat Tumpat pada bulan lalu.

Tertuduh, Mohd. Fairul Mu’min Abd. Rahim, 45, dan rakannya, Mohd. Azman Ismail, 40, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkpli Abdullah.

Tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh berikutan kes penyeludupan migran di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua lelaki itu didakwa menjalankan penyeludupan migran melibatkan tiga lelaki China dan seorang lelaki Myanmar di kawasan jalan lorong Kampung Kok Serai, Kampung Tujuh dekat Tumpat kira-kira pukul 5.05 petang pada 21 Januari lalu.

Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670) dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, denda atau kedua-duanya jika disabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aisyha Nailah Harizan manakala Mohd. Fairul Mu’min dan Mohd. Azman tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian tidak membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin selain menetapkan 9 April depan untuk sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI