PETALING JAYA – Media sosial menjadi kecoh apabila Hospital Pasir Gudang, Johor membuat hebahan mengenai sijil cuti sakit (MC) milik hospital itu yang hilang, baru-baru ini.
Pengarah Hospital Pasir Gudang dalam hantaran tersebut berkata, terdapat dua sijil cuti sakit (Perubatan 9- Pin.15/93) yang didapati hilang dengan nombor siri BG203133 dan BG203150.
“Dimaklumkan bahawa Hospital Pasir Gudang kehilangan sijil cuti sakit. Sijil cuti sakit kerajaan bernombor siri seperti di atas tidak sah diguna pakai. Sekian, terima kasih,” katanya.
Hantaran tersebut meraih perhatian orang ramai yang meninggalkan pelbagai respons di ruangan komen.
“Lagi senang pihak hospital hantar memo kepada Bahagian Sumber Manusia (HR) semua syarikat Pasir Gudang suruh berjaga-jaga. Masa staf hantar sijil cuti sakit, semak nombor siri. Kalau syarikat terima, salah mereka,” cadang @Krish Veni.
“Macam manalah sijil cuti sakit boleh hilang. Peliklah,” komen netizen lain.
“Ada tu terselit,” kata @Apple Pai. – KOSMO! ONLINE














