KUALA LUMPUR – Aktiviti penjualan rokok elektronik atau vape secara haram menerima tamparan hebat apabila barangan itu bernilai RM8.87 juta dirampas dalam Op E-Cig Mega yang dilancarkan serentak di seluruh negara sejak 10 Februari lalu.
Operasi berskala besar itu menyasarkan 154 lokasi di 13 negeri dan memeriksa 141 buah premis yang menjalankan perniagaan rokok elektronik, sekali gus membawa kepada siasatan 199 kes atas pelbagai kesalahan berkaitan.
Pemangku Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Fisol Salleh berkata, operasi bersepadu itu digerakkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Pasukan Gerakan Am (PGA) dengan kerjasama beberapa agensi penguatkuasaan lain.
Katanya, nilai rampasan keseluruhan dianggarkan RM8.876 juta melibatkan cecair vape bernilai RM4.692 juta (958,852 liter), peranti vape RM4.116 juta (83,289 unit) dan rampasan lain bernilai RM67,596 termasuk aksesori peranti, bateri, perkakas jualan dan rokok haram.
“Operasi itu turut mencatatkan keberhasilan (revenue) sebanyak RM330,200 hasil pengeluaran 195 saman oleh Kementerian Kesihatan (KKM), kompaun RM156,200 serta kutipan cukai berjumlah RM174,000.
“Seramai 2,140 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi terlibat dalam operasi ini, termasuk 995 pegawai dan anggota PDRM serta 1,145 pegawai dan anggota daripada agensi luar,” katanya pada sidang akhbar mengenai kejayaan operasi berkenaan di sini hari ini.
Dalam operasi sama, katanya, seramai 181 individu diperiksa dan empat orang ditahan melibatkan tiga lelaki dan seorang wanita atas pelbagai kesalahan termasuk menghalang penjawat awam, rekod lampau laporan palsu serta kesalahan imigresen.
Menurut Fisol, kes disiasat di bawah beberapa peruntukan undang-undang antaranya Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024, Akta Imigresen 1959/63, Akta Cukai Pendapatan 1967 serta Kanun Keseksaan.
Beliau menegaskan, operasi penguatkuasaan itu bukan sahaja bertujuan membanteras pasaran gelap vape, malah bagi mengurangkan ketirisan hasil negara serta memastikan hanya produk yang sah berada di pasaran.
“Kawalan lebih ketat terhadap rantaian bekalan dan pematuhan undang-undang akan terus diperkukuh bagi menyokong tadbir urus dan pengurusan hasil kerajaan yang lebih telus serta berintegriti,” katanya. – KOSMO! ONLINE














