PETALING JAYA – “Tak sabar nak pergi bazar Ramadan beli karipap oksigen, murtabak telur dibasuh, air balang tutup dengan wallpaper.”
Itu sindiran pedas seorang pengguna TikTok, @mentakab93 yang memerli sikap segelintir peniaga tidak bertanggungjawab di bazar Ramadan berdasarkan pengalaman pembeli pada tahun-tahun sebelum ini.
Menerusi video ringkas dimuat naik, individu berkenaan secara sinis menggambarkan situasi di mana ada juadah dijual dalam keadaan tidak memuaskan seperti karipap yang hanya berinti angin sehingga digelar ‘karipap oksigen’.
Selain itu, pengguna tersebut turut menyentuh isu kebersihan apabila menyebut ‘murtabak telur dibasuh’, merujuk kepada insiden tular sebelum ini membabitkan makanan yang terjatuh dan didakwa tetap dijual semula selepas dibersihkan.
Sindiran mengenai ‘air balang tutup dengan wallpaper’ pula dipercayai merujuk kepada tindakan menutup bekas minuman menggunakan kertas perhiasan bergambar bagi menampakkan jualan mereka lebih menarik meskipun realitinya jauh berbeza.
Tinjauan di ruangan komen mendapati rata-rata netizen memahami nada sindiran tersebut dan berkongsi pengalaman masing-masing membeli juadah yang tidak setimpal dengan harga.
“Karipap inti sejemput, angin penuh satu badan,” tulis Noriah.
“Terkena juga minggu lepas. Namapk betul sangat gambar aisnya,” komen Farah Roseanne.
“Air balang warna cantik di balang, bila beli warna luntur betul ya,” perlu seorang pengguna.
“Bang, mak saya bagi tips nak beli dekat bazar kena pergi hari pertama puasa. Hari-hari seterusnya kebanyakan dah mula jual lauk basi sebab panaskan lauk yang tak habis,” pesan @mekna kabinet custom. – KOSMO! ONLINE














