KUALA LANGAT – Jeritan terakhir ‘daddy’ menjadi detik paling memilukan buat Mohamad Iszwan Osman, 37, selepas anaknya, Mohamad Achmad Mohamad Iszwan, 6, ditemukan rentung dalam kebakaran di Taman Baiduri, Banting, di sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 6.09 pagi itu, mayat mangsa dijumpai di dalam bilik belakang di tingkat atas rumah teres dua tingkat tersebut.
Cerita Mohamad Iszwan, ketika kejadian, dia dan isterinya, Dayana Zainol Abidin, 35, tiada di rumah kerana mengambil dua lagi anaknya di kediaman ibu mentua di Taman Banting Baru di sini, pada pukul 3.30 pagi.
“Sebaik menerima panggilan mengenai kebakaran itu, saya bergegas pulang dan melihat api sedang marak. Saya cuba memanjat tingkap belakang rumah untuk menyelamatkan arwah namun terjatuh kerana terlalu panas.
“Saya terdengar suara arwah memanggil ‘daddy’ sekali sahaja dan selepas itu suara tersebut tidak kedengaran lagi,” katanya sebak ketika ditemui Kosmo! di pekarangan Unit Forensik Hospital Banting, di sini hari ini.
Kebakaran tersebut turut menyebabkan bapa dan ibu saudara Mohamad Achmad berusia dalam lingkungan 30-an masing-masing melecur dan sesak nafas.
Mohamad Iszwan yang bekerja sebagai tukang gunting rambut berkata, dia sempat meluangkan masa bersama anak kedua daripada empat beradik itu di rumah pada pukul 9 malam tadi.
“Arwah sememangnya manja dan periang. Dia bergurau dengan bermain baling kunci selain meminta air sejuk. Dia selalu tidur dengan saya setiap malam dan tidak sangka itu antara detik indah terakhir saya bersamanya,” ujarnya.
Sementara itu, Dayana yang merupakan guru taska memberitahu, arwah anaknya yang fasih berbahasa Inggeris demam dan tidak ke sekolah selama dua hari.
“Ternyata Allah lebih menyayanginya,” katanya yang memberitahu jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Permatang Pasir, Banting pada pukul 3 petang. – KOSMO! ONLINE














