SEBERANG PERAI – Keterujaan sebuah keluarga menyambut Ramadan yang berbaki beberapa hari lagi bertukar sayu apabila rumah mereka musnah dijilat api pada Khamis lalu.
Naimah Mohamad Hamidi, 28, berkata, dia bersama suami serta anaknya kini terpaksa menumpang di rumah ibunya buat sementara waktu memandangkan semua kelengkapan rumahnya di Taman Kuala Muda, Penaga hangus dalam kebakaran tersebut.
“Tahun ini, persiapan untuk menyambut Ramadan biasa-biasa sahaja, tambahan pula saya menjaga ibu mentua yang diserang strok.
“Apapun, saya bersyukur kerana bantuan yang diterima bukan sahaja meringankan beban malah memudahkan kami sekeluarga,” katanya ketika ditemui pada Program Jualan Rahmah Madani anjuran bersama Ahli Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Zainuddin Mohamed dan Karnival Mahabbah di Bertam di sini, hari ini.

Sementara itu, penganjur karnival, Zaini Aboo Hassan berkata, penerima bantuan terdiri daripada golongan asnaf dan ibu tunggal yang dikenal pasti menerusi senarai Majlis Pengurusan Komuniti Kampung.
“Sebelum ini kami menyediakan bekal makanan, namun kali ini ada sedikit kelainan apabila penerima bebas memilih barangan yang diperlukan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, pihaknya menyediakan 10 reruai percuma kepada usahawan baharu yang tidak mempunyai modal sempena penganjuran karnival ke-17 itu. -KOSMO! ONLINE














