PETALING JAYA – Kerajaan Arab Saudi menetapkan bayaran dam sebagai prasyarat proses pengeluaran visa haji bagi jemaah haji Tamattuk dan Qiran bermula musim haji 1447H/2026M.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung haji (TH), Mustakim Mohamad berkata, bayaran dam lebih awal itu perlu dibuat kepada The Kingdom of Saudi Arabia Project for Utilisation of Hady & Adahi (ADAHI).
Katanya, jumlah bayaran yang ditetapkan bagi musim haji tahun ini adalah sebanyak RM810 bagi seekor kibas.
“ADAHI TH akan menguruskan pembayaran dam kepada ADAHI bagi pihak jemaah. Pelaksanaan ini merupakan syarat baharu yang ditetapkan kepada semua jemaah seluruh dunia yang mengerjakan haji Tamattuk dan Qiran bagi musim haji ini.
“TH mengambil inisiatif memaklumkan kepada jemaah lebih awal bagi melancarkan urusan pengeluaran visa haji,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Bayaran dam perlu ditunaikan mengikut jenis ibadat haji yang dipilih dan boleh dibuat menerusi aplikasi THiJARI serta di kaunter cawangan TH bermula pada 1 Ramadan.
Bagi jemaah yang tidak membuat bayaran awal, TH akan membekukan jumlah tersebut daripada akaun masing-masing bermula pada 1 Syawal sebelum proses pendebitan dilaksanakan.
Semua bakal haji yang melaksanakan haji Tamattuk dan Qiran perlu menjelaskan bayaran dam sebelum tiba di Tanah Suci. Bagi jemaah yang memilih haji Ifrad, bayaran akan dipulangkan sekiranya akaun TH didebitkan, selepas perakuan dibuat tertakluk kepada pengesahan pihak TH.
Sementara itu, penyertaan ibadah korban di Tanah Suci tahun ini turut dibuka kepada semua pendeposit TH pada kadar RM810 bagi seekor kibas.
Pembayaran boleh dilakukan melalui aplikasi THiJARI atau di kaunter cawangan TH di seluruh negara.
Dalam perkembangan sama, TH menasihatkan orang ramai agar berwaspada dengan tawaran pembayaran dam dan korban yang mencurigakan daripada agensi pelancongan atau mana-mana pihak tidak sah.
“Ini kerana kebenaran daripada pihak berkuasa Arab Saudi diperlukan untuk melaksanakan dam dan korban di Tanah Suci,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan boleh melayari laman web rasmi TH di www.tabunghaji.gov.my atau menghubungi TH Contact Centre di talian 03-6207 1919. – KOSMO! ONLINE














