fbpx
Operasi Bersepadu Sempena Op Selamat 25 Tahun Baharu Cina 2026 yang dilaksanakan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur di Jalan Raja Laut, awal pagi tadi.

‘Saya hanya ikut kawan, ayah tak tahu’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Cubaan sekumpulan penunggang motosikal ‘menguasai’ ibu negara pada hujung minggu gagal apabila mereka ditahan dalam operasi bersepadu Sempena Op Selamat 25 Tahun Baharu Cina 2026 di beberapa lokasi panas awal pagi tadi.

Operasi yang digerakkan secara taktikal itu dilaksanakan di beberapa laluan utama yang sering dijadikan ‘port’ berkumpul penunggang motosikal terutama pada hujung minggu antaranya Jalan Tun Razak, Jalan Ipoh menghala Chow Kit, Jalan Ipoh (arah Sentul) dan Jalan Raja Laut.

Tinjauan Kosmo! mendapati keadaan bertukar kelam-kabut apabila sebahagian penunggang mula panik sebaik menyedari kehadiran pasukan operasi, malah ada yang sanggup memecut secara berbahaya sebelum meninggalkan motosikal dan melarikan diri.

Beberapa penunggang lain turut dikesan membuat pusingan-U secara mengejut untuk mengelak ditahan, namun gagal apabila disekat anggota penguat kuasa.

Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun dari Setapak mengaku menunggang motosikal milik bapanya tanpa kebenaran dan tiada lesen memandu.

“Saya hanya ikut kawan keluar pada malam minggu. Motosikal dulu pernah diubah suai, sekarang dah pasang balik standard. Ayah tak tahu saya keluar,” katanya.

Seorang lagi penunggang dikenali Arsyad, 19, mengakui meminjam motosikal rakan walaupun menyedari kenderaan itu menggunakan nombor pendaftaran tidak sah dan tidak dipasang nombor plat hadapan.

“Sebelum ini motosikal saya pernah kena sita sebab lumba haram. Malam ini pinjam motor kawan untuk pusing-pusing (Kuala Lumpur),” katanya.

Operasi tersebut dilaksanakan bermula pukul 10 malam hingga 4 pagi dengan memberi tumpuan kepada kenderaan dan motosikal yang disyaki terlibat aktiviti merempit serta kenderaan diubah suai.

Operasi tersebut melibatkan kekuatan seramai 15 pegawai dan 85 anggota daripada JSPT Kuala Lumpur dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Pengangkutan Jalan dan Agensi Antidadah Kebangsaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN