KUALA TERENGGANU – Hasrat seorang peniaga untuk meraih keuntungan lumayan daripada pelaburan dalam talian bukan sahaja tidak kesampaian malah dia pula yang kerugian RM100,900 akibat diperdaya sindiket penipuan atau ‘scammer’.
Tambah malang, lelaki berusia 35 tahun tersebut telah meminjam wang saudara-mara dan menjual lima motosikalnya semata-mata untuk dijadikan sebahagian modal skim pelaburan palsu terbabit.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, pada mulanya, peniaga terbabit telah diperkenalkan dengan skim pelaburan palsu tersebut oleh salah seorang pelanggannya yang berasal dari Indonesia pada pukul 4.45 petang, 16 Disember tahun lalu.
“Suspek mengajak mangsa untuk menjadi rakan kongsi bagi pelaburan sebuah syarikat saham online (dalam talian).
“Bagi menyakinkan mangsa, dia menerusi aplikasi WhatsApp telah menghantar gambar-gambar kononnya keuntungan yang telah diperoleh,” katanya di sini hari ini.
Azli berkata, peniaga berkenaan yang tertarik telah belajar ‘teknik pelaburan’ daripada mangsa bermula 17 Disember tahun lalu sebelum membuat pelaburan berjumlah keseluruhan RM100,900.
Beliau berkata, modal pelaburan tersebut dibayar menerusi 15 transaksi ke dalam akaun bank diberi suspek antara 17 Disember tahun lalu hingga 24 Januari lalu.
“Mangsa hanya menyedari tertipu apabila tidak mendapat RM200,000 keuntungan dijanjikan,” katanya. – KOSMO! ONLINE














