PENGENDALI Perak FA, Syamsul Saad menarik nafas lega apabila melakar sejarah mara ke separuh akhir Piala Cabaran selepas menewaskan UM-Damansara United dengan keputusan agregat 4-2 malam tadi.
Pada perlawanan di Stadium Manjung itu, skuad Seladang yang memiliki bekalan tipis 1-0 terpaksa bermandi peluh selepas kedudukan agregat terikat 2-2 dengan aksi terpaksa diheret ke masa tambahan.
Pemain muda Perak, Fadhil Idris muncul wira apabila meledak dua gol pada masa tambahan untuk memastikan tuan rumah melangkah ke kelompok empat kelab terbaik.
Menurut Syamsul, prestasi yang dipamerkan oleh pasukannya tidak konsisten sepanjang perlawanan dengan kelekaan mendahului agregat 2-0 telah dihukum pihak lawan.
“Pada awalnya saya agak risau tadi kerana kita ulangi masalah yang sama. Selepas mendahului 2-0, kita agak gugup dengan membiarkan lawan menjaring gol mudah.
“Mungkin kita terlalu berhati-hati menyebabkan pasukan melakukan kesilapan mudah. Namun, selepas itu saya suruh pemain betulkan sikap dan mentaliti mereka pada masa tambahan.
“Syukur kita dapat menang dan mara ke separuh akhir Piala Malaysia buat kali pertama,” katanya selepas tamat perlawanan. – KOSMO! ONLINE














