SEREMBAN – Kementerian Pengangkutan akan melaksanakan langkah mitigasi termasuk penyelarasan semula jadual tren bagi mengurangkan tempoh perjalanan komuter Seremban – Kuala Lumpur yang ketika ini hampir dua jam susulan kerja naik taraf Landasan Berkembar Elektrik Lembah Klang (KVDT2).
Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata, perjalanan tren komuter bagi laluan itu kini mengambil masa antara satu jam 45 minit hingga dua jam berikutan kerja pembinaan yang sedang dijalankan di beberapa lokasi sepanjang landasan.
“Memang perjalanan tergendala dan saya tahu warga Seremban mengadu tempoh perjalanan yang hampir dua jam. Ini disebabkan di sepanjang landasan itu kita sedang melaksanakan kerja naik taraf dan ada bahagian yang menggunakan satu landasan sahaja.
“Apabila satu landasan digunakan untuk kerja, tren perlu menunggu giliran untuk melalui laluan tersebut dan ini menjejaskan pergerakan tren,” katanya ketika ditemui pada Majlis edaran pek cenderahati kepada penumpang Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) sempena Tahun Baru Cina di Stesen Seremban di sini, hari ini.
Sehubungan itu, beliau berkata kementerian akan melaksanakan langkah mitigasi termasuk menyesuaikan semula jadual tren selepas perayaan Tahun Baru Cina ini bagi meringankan dan memendekkan tempoh perjalanan pengguna.
Mengulas perkembangan keseluruhan projek KVDT2, beliau berkata kemajuan berjalan seperti biasa namun berdepan cabaran kerana kerja pembinaan dilakukan secara ‘by track’ tanpa menutup sepenuhnya laluan sedia ada. – KOSMO! ONLINE














