fbpx
Kor Ming (dua dari kiri) bersama Anwar (tengah) bergambar bersama pelajar selepas menyerahkan sumbangan kepada pelajar di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Yuk Choy di Ipoh hari ini.

754 individu ditahan buang sampah, 478 akan didakwa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

IPOH – Seramai 754 individu ditangkap atas kesalahan membuang sampah di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) sejak Januari lalu.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming berkata, daripada jumlah tersebut, seramai 478 individu akan didakwa di mahkamah.

“Setakat pagi ini, KPKT telah tangkap seramai 754 orang ulat sampah dan daripada jumlah itu, 137 orang adalah warga asing.

“Semalam, buat kali pertama dalam sejarah, 15 individu dihukum menjalani khidmat masyarakat selama enam jam, termasuk menyapu jalan, membersihkan longkang dan tandas serta dikenakan kompaun sebanyak RM1,500,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sumbangan Kasih Madani Parlimen Tambun Sempena Tahun Baharu Cina dan Sambutan Ramadan di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Yuk Choy di Ipoh hari ini.

Pada majlis tersebut, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan sumbangan sebanyak RM300 kepada 3,000 pelajar seluruh Parlimen Tambun.

Menurut Nga Kor Ming, masyarakat perlu menjaga kebersihan persekitaran kerana ia bukan sahaja satu kewajipan, malah dapat memastikan negara sentiasa bersih dan rakyat terhindar daripada penyakit.

“Kepada pelajar sekolah, tolong jaga kebersihan kerana perintah khidmat masyarakat telah mula dilaksanakan. Kita kena pastikan Malaysia bersih supaya tiada penyakit berjangkit dan rakyat hidup sejahtera,” katanya.

Sementara itu dalam perkembangan berlainan beliau berkata, Sumbangan Khas Madani RM1 juta disalurkan kepada 3,000 pelajar berbilang kaum daripada 16 buah sekolah di bawah Parlimen Tambun, menjelang musim perayaan Tahun Baharu Cina dan Ramadan.

Katanya, sumbangan daripada Yayasan Berjaya Cares itu diharap dapat mengurangkan beban kewangan pelajar menjelang musim perayaan.

“Majlis Sumbangan Kasih Madani yang diadakan menjelang setiap perayaan utama di negara ini bukanlah sekadar program rutin, malah ia manifestasi keprihatinan kerajaan terhadap rakyat, khususnya golongan pelajar B40.

“Setiap kali menjelang musim perayaan utama, sama ada Tahun Baharu Cina, Hari Raya Aidilfitri mahupun Deepavali, kami memahami bahawa ramai ibu bapa berdepan cabaran kewangan untuk memperoleh barangan keperluan bagi menyambut perayaan dan persekolahan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN