KAJANG – Polis Selangor memberi penekanan terhadap aspek keselamatan kawasan perumahan sepanjang sambutan Tahun Baharu Cina, khususnya bagi membendung peningkatan kes jenayah pecah kediaman ketika ramai penduduk pulang ke kampung atau bercuti.
Ketua Polis Selangor, Shazeli Kahar berkata, seramai 3,100 anggota dan pegawai polis telah digerakkan bagi melaksanakan operasi pencegahan jenayah secara menyeluruh di seluruh negeri.
Menurutnya, rondaan serta kehadiran polis di kawasan perumahan akan dipertingkatkan sebagai langkah proaktif memastikan keselamatan harta benda orang ramai terus terpelihara.
“Musim perayaan lazimnya menyaksikan peningkatan risiko kes pecah rumah. Justeru, kita memperhebatkan rondaan dan pemantauan bagi mengekang sebarang aktiviti jenayah.
“Orang ramai juga digalakkan menyalurkan maklumat sekiranya mengesan sebarang aktiviti mencurigakan supaya tindakan pantas dapat diambil,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Program Walkabout Langkah Selamat Santuni Komuniti Kajang di sini hari ini.
Shazeli turut menggalakkan orang ramai menggunakan aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP), mengisi borang makluman di balai polis berhampiran atau menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) bagi memaklumkan pergerakan balik kampung dan sebarang aduan berkaitan keselamatan.
Katanya, kemudahan tersebut dapat membantu polis merancang pemantauan dengan lebih berkesan, sekali gus memberi ketenangan kepada masyarakat sepanjang cuti perayaan.
Selain itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mengunci rumah dan kenderaan, serta tidak berkongsi maklumat peribadi atau pergerakan secara terbuka di media sosial.
Mengulas program walkabout yang diadakan dengan kerjasama Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad, Shazeli berkata, inisiatif itu bertujuan memperkukuh hubungan antara polis dan komuniti.
“Program seperti ini menjadi medium komunikasi dua hala bagi membolehkan masyarakat berkongsi pandangan serta maklumat berkaitan keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya.
Tambah beliau, Polis Selangor akan terus komited memperkasakan strategi pencegahan jenayah dan memperkukuh kerjasama bersama komuniti demi menjamin keselamatan serta kesejahteraan rakyat. – KOSMO! ONLINE














