fbpx
Shazeli pada sidang akhbar selepas Program Walkabout Langkah Selamat Santuni Komuniti Kajang di Stesen MRT Kajang, hari ini.

Kes methadone: Tiada unsur jenayah, ubat milik bapa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KAJANG – Polis mengesahkan siasatan awal berhubung kes tiga kanak-kanak dipercayai diberi minum cecair berbahaya jenis methadone tidak menemukan sebarang unsur jenayah, sebaliknya lebih menjurus kepada kecuaian ibu bapa.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, setakat ini siasatan masih belum selesai, namun penemuan awal menunjukkan kejadian berlaku tanpa sebarang niat jahat.

“Berdasarkan siasatan awal, kita tidak nampak unsur sengaja atau niat. Ia lebih kepada kecuaian ibu bapa yang membawa kepada pengabaian.

“Siasatan juga menunjukkan ubat berkenaan adalah milik bapa kepada kanak-kanak tersebut yang menjalani rawatan menggunakan methadone dan ubat itu sebenarnya untuk kegunaannya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Walkabout Langkah Selamat Santuni Komuniti Kajang di sini, hari ini.

Menurut Shazeli, kecuaian dipercayai berlaku apabila ubat berkenaan tersalah diberikan, kemungkinan disebabkan keadaan tergesa-gesa atau faktor lain.

Mengulas keadaan dua lagi kanak-kanak, beliau berkata, kedua-duanya masih dirawat di hospital namun menunjukkan perkembangan pemulihan yang positif.

“Setakat ini mereka masih di bawah rawatan doktor dan menunjukkan proses pemulihan yang baik,” ujarnya.

Tambahnya, ubat methadone tersebut diperoleh daripada sumber yang sepatutnya, manakala ibu bapa kanak-kanak berkenaan telah diberikan jaminan polis beberapa hari selepas ditahan.

“Kita memberi jaminan polis kerana memahami situasi keluarga ini supaya mereka dapat menguruskan kebajikan, khususnya berkaitan urusan anak yang meninggal dunia,” katanya.

Rabu lalu, Kosmo! melaporkan, polis menahan ibu bapa kepada tiga kanak-kanak yang dikejarkan ke hospital dipercayai diberi minum cecair berbahaya, methadone bagi membantu siasatan selepas seorang daripada kanak-kanak itu disahkan meninggal dunia.

Shazeli dilapor berkata, pihak Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang menerima maklumat daripada pegawai perubatan Hospital Tengku Permaisuri Norashikin berhubung tiga kanak-kanak lelaki warga tempatan yang dibawa ke Jabatan Kecemasan kira-kira pukul 9.01 pagi.

Jelasnya, hasil siasatan awal mendapati seorang kanak-kanak lelaki berusia kira-kira 11 tahun meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.

Manakala, dua lagi mangsa masing-masing berusia sekitar 10 dan lima tahun menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi.

Susulan kejadian itu, Shazeli berkata, polis telah menahan ibu dan bapa mangsa berusia lingkungan 35 dan 44 tahun pada hari sama bagi membantu siasatan.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 31(1)(A) Akta Kanak-Kanak 2001. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN