JOHOR BAHRU – Kesesakan trafik di Tambak Johor dan LinKedua di Gelang Patah dijangka berlaku susulan peningkatan sehingga 40 peratus jumlah kenderaan memasuki negeri ini menerusi dua pintu sempadan antarabangsa itu.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab. Rahaman Arsad berkata, peningkatan jumlah kenderaan memasuki negeri ini menerusi laluan lain turut dijangka merekodkan jumlah peratusan sama.
Menurut beliau, ini susulan sambutan Tahun Baharu Cina dan awal Ramadan yang bersambung dengan cuti panjang sesi persekolahan.
“Lokasi tumpuan Ops Selamat di Johor ada dua iaitu di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB). Kita jangka akan berlaku kesesakan luar biasa di dua lokasi ini.
“Sementara itu, kita jangka jumlah kenderaan memasuki negeri ini termasuklah di dua sempadan antarabangsa itu akan meningkat antara 30 hingga 40 peratus sempena Tahun Baharu Cina ini,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Op Selamat 25 Tahun Baharu Cina 2026 Kontinjen Johor di Sutera Mall, di sini hari ini.
Tambah Ab. Rahaman, pihaknya turut mengenalpasti 47 lokasi ‘hotspot’ kerap berlaku kesesakan selain 38 lokasi ‘hotspot’ kerap berlaku kemalangan khususnya ketika musim perayaan di negeri ini.
“Seramai 1,801 pegawai dan anggota akan digerak bagi memastikan Op Selamat ini mencapai matlamat iaitu mengurangkan sehingga 5 peratus jumlah kemalangan dan kematian berbanding pelaksanaan Op Selamat terdahulu.
“Selain itu, kita turut menumpukan kepada pencegahan jenayah pecah rumah serta memastikannya kelancangan trafik sepanjang waktu perayaan,” ujarnya.
Menurut beliau lagi, enam kesihatan utama yang akan diperhatikan pihaknya iaitu memandu melebihi had laju; memandu di lorong kecemasan; memotong garisan berkembar; memotong barisan; tidak mematuhi lampu isyarat dan menggunakan telefon bimbit ketika memandu.- KOSMO! ONLINE














