fbpx
Semakan di titik pelepasan akhir efluen dari premis kilang bagi memastikan piawaian mengikut ketetapan ZDP.

ZDP turunkan 65 peratus kes pencemaran air Selangor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Pelaksanaan Dasar Pelepasan Sifar (ZDP) membuahkan hasil apabila kes kecemasan pencemaran sumber air di Selangor merosot 65 peratus tahun lalu.

Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar, Jamaliah Jamaluddin berkata, hanya 28 kes direkodkan pada 2025 berbanding 80 kes pada 2024 sekali gus membuktikan keberkesanan dasar tersebut dalam mengawal pencemaran.

Malah kata, jika dibandingkan sebanyak 76 kes direkodkan pada 2023, 71 kes (2022) dan 64 kes (2021) menunjukkan trend penurunan yang konsisten.

“Hasilnya, tiada sebarang insiden henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) utama Selangor akibat pencemaran sumber air oleh aktiviti industri direkodkan sejak pelaksanaan ZDP ini.

“Data Indeks Kualiti Air (IKA) sungai utama negeri sehingga Oktober tahun lalu menunjukkan bacaan minimum berada pada Kelas II dan ke atas seterusnya membuktikan sumber air negeri berada pada tahap selamat untuk tujuan pembekalan air mentah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menjelaskan, dasar yang dilaksanakan sejak 10 Ogos 2024 menekankan semua air sisa atau efluen yang terhasil daripada aktiviti manusia diwajibkan untuk diurus dan dirawat secara terkawal sebelum sebarang pelepasan ke sumber air dibenarkan.

Tambah beliau, ia dilaksanakan melalui Sistem Licensing of Effluent Discharge (LEDs) dengan pemantauan dibuat terhadap aspek kualiti dan kuantiti pelepasan efluen termasuk kewajipan laporan bulanan dan analisa makmal setiap tiga bulan.

“Dalam sektor industri, beberapa kilang termasuk industri pulpa berjaya mengintegrasikan sistem rawatan dan kitar semula efluen dalam operasi harian sehingga mengurangkan pelepasan ke sumber air sebanyak 20 peratus.

“Kejayaan dasar itu turut menarik minat beberapa kerajaan negeri lain untuk mencontohi pendekatan Selangor dalam melindungi sumber air sebagai aset strategik negeri dan negara,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN