fbpx
SYED AHMAD KHIRULANWAR ALYAHYA (tiga dari kanan) bersama Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan negeri, Datuk Ir Razali Kassim (dua dari kanan) melakukan pemeriksaan di dalam sebuah bas ekspres di Terminal Sentral Kuantan malam semalam.

Perjalanan balik Kelantan tertangguh lebih sejam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUANTAN – Gara-gara tidak memiliki Lesen Perubahan Sementara (LPS), sebuah bas persiaran yang menggantikan sebuah bas ekspres tidak dibenarkan meneruskan perjalanan di Terminal Sentral Kuantan (TSK) di sini malam semalam.

Akibat itu juga menyebabkan jadual perjalanan bas berkenaan tertangguh lebih sejam bagi menggantikan bas lain.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang, Syed Ahmad Khirulanwar Alyahya Syed Abdul Rahman berkata, bas berkenaan dijadual membawa penumpang dari TSK ke Kota Bharu, Kelantan selepas bas asal didakwa mengalami kerosakan.

“Bagaimanapun, pemeriksaan mendapati bas ganti tersebut merupakan bas persiaran dan tidak mempunyai LPS yang sah daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) bagi membolehkannya beroperasi sebagai bas ekspres.

“Anggota JPJ Pahang tidak membenarkan bas tersebut meneruskan perjalanan dengan membawa penumpang sehingga pihak syarikat menyediakan bas ekspres lain yang sah bagi mengelakkan sebarang permasalahan,”katanya dalam sidang akhbar selepas Program Advokasi Keselamatan Jalan Raya Sempena Perayaan Tahun Baru Cina (TBC) 2026 di TSK Kuantan, di sini, malam semalam.

Menurutnya, LPS merupakan kebenaran sementara yang dikeluarkan APAD untuk membenarkan sesuatu kenderaan digunakan bagi tujuan berbeza daripada lesen asalnya dalam tempoh tertentu.

“Setiap kenderaan perdagangan mempunyai jenis permit, syarat operasi, perlindungan insurans serta had laluan berbeza dan penggunaan bas persiaran sebagai bas ekspres tanpa LPS yang sah adalah melanggar syarat permit serta boleh dikenakan tindakan.

“Dalam kejadian itu, bas ekspres yang sepatutnya bertolak pada pukul 8 malam hanya dapat bergerak kira-kira pukul 9.30 malam selepas syarikat berkenaan menyediakan bas ekspres lain sebagai pengganti,”katanya.

Syed Ahmad Khirulanwar Alyahya berkata tindakan tersebut dilaksanakan dalam rangka Ops TBC 2026 yang memberi tumpuan kepada pematuhan undang-undang serta peningkatan tahap keselamatan jalan raya di negeri ini.

Jelasnya, antara kaedah digunakan termasuk pelaksanaan advokasi keselamatan jalan raya di lokasi terpilih serta hebahan melalui media sosial bagi meningkatkan kesedaran orang ramai.

“Seramai 271 anggota penguat kuasa membabitkan 26 pasukan digerakkan di seluruh Pahang sepanjang operasi berkenaan.

“Pemeriksaan bas turut dijalankan di tiga terminal utama iaitu Terminal Sentral Kuantan (9 pagi hingga 12 tengah malam), Terminal Bas Temerloh (8 malam hingga 11 malam) dan Terminal Bas Genting Highlands (11 pagi hingga 3 petang),” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI