fbpx
Nancy bercakap kepada pemberita di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia Sultan Azlan Shah di Ipoh hari ini.

DKKN pastikan pembangunan negara dipacu kesejahteraan keluarga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

IPOH – Dasar Kasih Keluarga Negara (DKKN) digubal sebagai kerangka dasar yang komprehensif untuk memastikan kesejahteraan keluarga sentiasa menjadi keutamaan pembangunan negara.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Nancy Shukri berkata, aspek kesejahteraan keluarga itu begitu penting terutamanya dalam era yang penuh dengan perubahan sosioekonomi dan transformasi digital.

“Dasar ini menggunakan pendekatan kitaran hayat, daripada praperkahwinan, pembentukan keluarga, keibubapaan sehinggalah ke fasa warga emas, supaya setiap peringkat kehidupan diberi perhatian yang sewajarnya.

“Bagi memastikan pelaksanaannya jelas dan berfokus, Pelan Tindakan Keluarga Negara (PTKN) 2026-2030 telah dirangka dengan tanggungjawab yang ditetapkan kepada kementerian, agensi, sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Peluncuran Dasar Kasih Keluarga Negara (DKKN) dan Jelajah Sejahtera Madani – Skim Insurans Kesejahteraan Rakyat (SIKR) di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia Sultan Azlan Shah di Ipoh hari ini

Nancy berkata, DKKN digerakkan melalui lima teras strategik iaitu Memartabatkan Institusi Perkahwinan Dan Kekeluargaan, Memperkasakan Keupayaan Perancangan Keluarga, Meningkatkan Kemampuan Dan Kualiti Keibubapaan, Menyokong Pemerkasaan Keluarga Secara Inklusif dan Menambahbaik Pengurusan Konflik Keluarga.

Selain itu, beliau berkata, DKKN juga
mempunya 16 strategi, tiga mekanisme pemudah cara serta 43 tindakan bersepadu yang diselaraskan bagi memperkukuh institusi keluarga di Malaysia.

“Justeru, DKKN dan PTKN 2026-2030 dirangka berasaskan analisis menyeluruh terhadap trend makro yang memberi kesan langsung kepada kestabilan institusi keluarga.

“Kadar kelahiran Malaysia kini berada pada tahap 1.7 anak, jauh di bawah paras penggantian, manakala negara dijangka mencapai status negara tua menjelang 2033,” katanya.

Beliau berkata, perubahan struktur umur itu memberi implikasi besar kepada tenaga kerja masa hadapan, sistem sokongan antara generasi serta keupayaan negara mengekalkan daya tahan sosial dan ekonomi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI