IPOH – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kemasukan pelajar Tahun 1 seawal usia 6 tahun adalah bagi memastikan negara mampu bersaing di peringkat global.
Beliau berkata, ini kerana banyak negara luar telah melaksanakan konsep tersebut yang mana kanak-kanak 6 tahun memulakan persekolahan di usia sedemikian.
“Kalau ketinggalan satu tahun, kita tidak boleh bersaing. Anak-anak kita yang berusia 6 tahun sekarang lebih pintar, bukan seperti kita dahulu, mereka lebih terdedah dengan semua bidang ilmu pengetahuan.
“Jadi kita bagi didikan. Kita beri hampir RM1 billion untuk keperluan tambahan (bagi kemasukan murid 6 tahun masuk ke Tahun 1),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Peluncuran Dasar Kasih Keluarga Negara (DKKN) dan Jelajah Sejahtera Madani – Skim Insurans Kesejahteraan Rakyat (SIKR) di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia Sultan Azlan Shah di Ipoh hari ini.
Penggabungan dua inisiatif antara Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) itu mencerminkan sinergi kerajaan dalam memastikan penyampaian perkhidmatan yang berkesan, inklusif dan berfokus kepada keperluan rakyat.
DKKN merupakan satu kerangka dasar sosial komprehensif yang mengiktiraf keluarga sebagai unit asas kestabilan sosial dan daya tahan negara khususnya dalam menghadapi cabaran perubahan sosioekonomi, peralihan demografi serta impak transformasi digital terhadap kehidupan masyarakat.
Pelaksanaan SIKR pula bertujuan membantu keluarga menghadapi kesan kewangan akibat kejadian luar jangka, mengurangkan risiko kemiskinan akibat krisis mendadak serta memastikan kesejahteraan keluarga terus terjamin melalui penyediaan jaringan keselamatan sosial yang menyeluruh dan berimpak. – KOSMO! ONLINE














