SEBERANG PERAI – Seramai lima penghuni termasuk dua kanak-kanak terselamat selepas kediaman mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Belah Dua, Permatang Pauh di sini, hari ini.
Kesemua mangsa berjaya menyelamatkan diri sebelum api merebak keseluruhan rumah dan memusnahkan empat kenderaan terdiri dua kereta serta dua buah motosikal.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia negeri, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian berlaku pada pukul 8.18 pagi tadi dan kemudiannya bergegas ke lokasi kebakaran.
Menurutnya, operasi pemadaman melibatkan keanggotaan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Perda dengan dibantu BBP Bukit Mertajam.
“Kebakaran melibatkan sebuah rumah kelas B dengan anggaran peratusan kemusnahan kebakaran adalah 70 peratus. Kebakaran berlaku turut melibatkan empat unit kenderaan.
“Terdapat lima mangsa terdiri dua wanita, seorang lelaki dewasa dan dua kanak-kanak. Mangsa terbabit dilaporkan selamat,” katanya di sini, hari ini.
Jelasnya lagi, kebakaran telah dapat dikawal pada pukul 8.40 pagi tadi dan dipadamkan sepenuhnya pada pukul 9.30 pagi.
“Kerja-kerja ‘overhaul’ selesai dijalankan dan lokasi diserahkan kepada Pasukan Penyiasatan Kebakaran (FIO) untuk tindakan selanjutnya,” ujarnya operasi ditamatkan pada pukul 9.51 pagi tadi. -KOSMO! ONLINE














