KOTA KINABALU – Suspek kes bunuh dan kerat beberapa anggota badan seorang wanita yang ditemui di tempat pembuangan sampai di Taman Indah Permai di sini mengaku mengerat mangsa menggunakan senjata parang tajam seorang diri.
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun berkata, perkara itu dimaklumkan suspek ketika proses soal siasat yang dijalankan pihak polis.
Katanya, mangsa seorang wanita berusia 44 tahun yang merupakan warga asing yang memegang dokumen IMM13.
“Mangsa dipercayai berada di lokasi kejadian untuk berjumpa dengan suspek di rumah keluarga lelaki yang berusia 70 tahun itu. Jadi kita percaya motif kepada kes bunuh ini adalah lebih kepada motif cemburu dan tidak berpuas hati dengan mangsa.
”Mangsa telah berkawin dengan orang lain menyebabkan suspek cemburu sehinggalah kepada pertengkaran yang membawa kepada pembunuhan ini,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan mayat wanita lingkungan 40-an ditemukan dalam keadaan anggota badan dikerat dan dibuang berasingan di beberapa lokasi pembuangan sampah sekitar Taman Indah Permai.
Penemuan awal membabitkan tangan dan kaki pada pukul 6.30 pagi sebelum pencarian lanjut membawa kepada penemuan kepala serta badan mangsa pada pukul 11.40 pagi di lokasi berhampiran.
Susulan penemuan mayat itu, dua suspek berjaya ditahan dan polis memaklumkan bahawa suspek utama berusia 71 tahun merupakan bekas tunang mangsa.
Kejadian tersebut disiasat sebagai kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.- KOSMO! ONLINE














