BATU PAHAT – Sebuah gudang dan dua premis yang menghasilkan dan menjual lampu sembahyang yang disyaki melanggar hak cipta tumpas melalui satu operasi penguatkuasaan hak cipta di Batu Pahat dan Johor Bahru, semalam.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Johor, Lilis Saslinda Pornomo berkata, serbuan dilaksanakan hasil risikan dan pemantauan selama kira-kira sebulan oleh penguat kuasa KPDN Johor dengan kerjasama pemilik hak cipta karya berkenaan.
Jelasnya, pemeriksaan awal mendapati gudang dan premis-premis tersebut memiliki serta menawarkan untuk jualan lampu sembahyang disyaki melanggar karya seni yang telah berdaftar dan dilindungi hak cipta.
Katanya, hasil pemeriksaan lanjut dan pengesahan awal oleh pihak pemilik hak cipta, sebanyak 818 unit lampu sembahyang telah disita dengan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM56,791.86.
“Kes ini akan disiasat di bawah Akta Hak Cipta 1987 kerana disyaki melakukan pelanggaran hak cipta.
“KPDN Johor memandang serius sebarang bentuk pelanggaran harta intelek kerana ia bukan sahaja menjejaskan pemilik hak yang sah, malah memberi kesan kepada integriti pasaran dan kepercayaan pengguna.- KOSMO! ONLINE














