PETALING JAYA – Keselamatan kanak-kanak dan remaja di dalam talian mesti diberi perhatian oleh pihak berkuasa dan masyarakat, titah Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah.
Menerusi kenyataan rasmi hari ini, Baginda bertitah, hal itu kerana ia boleh menjadi ruang yang amat toksik dan memberi kesan buruk jangka panjang jika dibiarkan menular.
Raja Permaisuri Agong bertitah, menzahirkan kebimbangan dan keprihatinan tentang isu kesihatan mental yang semakin menular menunjukkan kesan-kesan negatif terutama terhadap kanak-kanak dan remaja.
“Saya amat terkesan dengan kematian seorang pelajar perempuan tahun lalu yang ditikam di sekolah dan bimbang akan kesan persekitaran keselamatan di alam maya yang mengandungi pelbagai ancaman terhadap kesihatan mental masyarakat, terutamanya golongan muda.
“Justeru, perhatian serta tindakan serius perlu diambil oleh pihak berkuasa dan masyarakat bagi melindungi generasi muda daripada ancaman keselamatan di ruang atas talian,” titah Seri Paduka Baginda.
Raja Zarith Sofiah bertitah demikian kepada Royal Press Office (RPO) selepas berkenan menerima mengadap rombongan Kelab Oxford Alumni Malaysia di Istana Negara, semalam, yang mana telah dibincang dan dikupas isu-isu keselamatan alam maya.
Baru-baru ini, Raja Permaisuri Agong telah melancarkan program Ilham Seni Diraja, sebuah projek perintis membabitkan 200 pelajar sekolah di Kuala Lumpur.
Program tersebut bagi memberi pelajar B40 saluran aktiviti yang membina melalui bidang seni sebagai usaha memupuk kesihatan mental yang baik dan mencegah terjerumus gejala sosial.- KOSMO! ONLINE














