IPOH – Malaysia tidak layak menerima vaksin Covid-19 percuma dari negara luar termasuk dari India kerana dikategorikan sebagai negara berpendapatan menengah atas.
Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, pemberian vaksin secara percuma hanya diberikan kepada negara yang berpendapatan rendah dan sederhana.
Khairy Jamaluddin yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, ini menyebabkan Malaysia terpaksa membeli vaksin untuk melaksanakan program imunisasi kepada rakyat.
“Kebanyakan negara lain mendapat vaksin percuma dari China, India dan Rusia sebagai negara berpendapatan rendah.
“Berbeza dengan Malaysia yang dikategorikan sebagai ‘upper middle income’, diskaun tak dapat, percuma pun tidak, kita kena beli semua vaksin, itu situasi semasa yang kita hadapi,” katanya pada sidang akhbar selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Stadium Indera Mulia, di sini hari ini.
Beliau ditanya kemungkinan Malaysia terpilih sebagai antara negara menerima bekalan vaksin percuma yang ditawarkan kerajaan India selepas Ghana menjadi negara pertama menerima vaksin dari Covax, iaitu satu skim global yang memberi vaksin Covid-19 secara percuma untuk negara-negara miskin.
Menurut Khairy Jamaluddin, beliau telah mengadakan perjumpaan dengan Pesuruhjaya Tinggi India bagi rundingan pembelian vaksin novavax yang mempunyai kadar keberkesanan agak tinggi selain rundingan dengan beberapa syarikat negara itu termasuklah pengeluar vaksin terbesar di dunia, Serum Institute of India.-K! ONLINE














