fbpx
Anggota Imigresen ketika melakukan pemeriksaan terhadap seorang warga asing pada Operasi Khas di Sentul, baru-baru ini. FOTO IHSAN IMIGRESEN

Sindiket pasport palsu Bangladesh tumpas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen (JIM) menumpaskan sindiket pemalsuan pasport warga Bangladesh selepas menahan seorang lelaki warga asing dalam Operasi Khas di dua lokasi sekitar Sentul, di sini, semalam.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Imigresen, Datuk Lokman Effendi Ramli berkata, operasi bermula pukul 6 pagi itu dijalankan hasil maklumat awam serta risikan selama sebulan oleh Bahagian Perisikan dan Operasi Khas JIM.

Menurutnya, semakan awal mendapati suspek yang merupakan warga Bangladesh berusia 27 tahun itu memiliki Pas Pelajar yang masih sah laku.

“Pasukan operasi turut menyita 22 naskhah pasport Bangladesh yang disyaki palsu, kad akses, satu set komputer, mesin pencetak, mesin pemotong, mesin engrave laser serta mesin pemotong curve.

“Turut disita sebuah motosikal jenis Benelli Leoncino dipercayai digunakan dalam kegiatan ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Lokman Effendi berkata, sindiket terbabit menawarkan perkhidmatan kepada warga Bangladesh di sekitar Lembah Klang yang gagal melepasi saringan pemeriksaan kesihatan pekerja asing (FOMEMA) atau berstatus tidak layak (unfit).

“Pasport yang dipalsukan akan dipinda atau diubah suai mengikut keperluan bagi membolehkan ia digunakan semasa proses saringan kesihatan.

“Bagi mengelakkan dikesan, khidmat ‘runner’ akan digunakan untuk menghantar
pasport palsu yang telah siap kepada pelanggan dengan pembayaran secara dalam talian,” ujarnya.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek dipercayai menghasilkan antara 200 hingga 300 naskhah pasport palsu dalam tempoh sebulan dan menjalankan kegiatan itu sejak kira-kira enam bulan lalu.

Menurutnya, suspek ditahan bagi siasatan di bawah Seksyen 56(1)(l) Akta Imigresen 1959/63 dan dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut.

“Seorang lelaki warganegara Malaysia turut diberikan notis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI