fbpx
Gambar hiasan

Kadar zakat fitrah naik kepada RM8 di Selangor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Kadar zakat fitrah di Selangor pada Ramadan tahun ini ditetapkan RM8 iaitu peningkatan RM1 berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor (Zakat Selangor), Mohd. Khaidzir Shahari berkata, ia selepas mendapat kelulusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor serta perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Katanya, penetapan kadar tersebut dibuat berdasarkan harga semasa beras di pasaran serta timbangan satu gantang Baghdad bersamaan 2.6 kilogram beras.

“Kadar RM8 ditetapkan bagi individu yang memakan Beras Super Spesial Tempatan atau Beras Putih Import.

“Kadar RM16 pula bagi mereka yang memakan Beras Wangi, Beras Pulut, Beras Rebus atau Beras Perang,manakala kadar RM25 bagi individu yang memakan Beras Basmathi, Herba Ponni, Beras Jepun/Calrose Beras Merah atau Beras Hitam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Untuk rekod, kadar zakat fitrah di Selangor sebelum ini adalah RM7 sejak 2007.

Kata Mohd. Khaidzir, lebih 2,400 Penolong Amil Fitrah (PAF) akan bertugas di lebih 460 masjid dan surau di seluruh negeri bagi memastikan kelancaran urusan pembayaran zakat fitrah sepanjang Ramadan ini.

“PAF di lima daerah iaitu Kuala Selangor, Klang, Petaling, Hulu Langat dan Gombak akan menggunakan sistem aplikasi (Mobile App) sepenuhnya dalam urusan kutipan zakat fitrah.

“Manakala di Sabak Bernam, Hulu Selangor, Sepang dan Kuala Langat, pembayaran masih dibuat menggunakan buku kupon fitrah selain turut disokong aplikasi sama,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI