PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) akan mengadakan perbincangan bersama barisan pemain dan jurulatih sebelum memuktamadkan pendirian berhubung cadangan sistem 15 mata oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh berkata, badan induk itu belum memuktamadkan sebarang keputusan biarpun BWF mendakwa sistem tersebut lebih mesra penonton dan membantu proses pemulihan pemain.
“Agak sukar untuk menilai sama ada ia benar-benar sesuai kerana kebanyakan ujian sebelum ini hanya dilakukan di kejohanan peringkat bawah, belum pernah diuji di peringkat tertinggi.
“Kita akan adakan perbincangan dalaman sebelum menentukan pendirian rasmi Malaysia menjelang Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) BWF di Horsens, Denmark pada 25 April depan.
“Saya faham BWF memberi cadangan ini terutama sekali masa siaran. Apabila perlawanan itu menjadi lebih pendek, mungkin ia lebih mesra penonton.
“Mengikut kajian BWF, sistem 15 mata ini mungkin menjadikan permainan lebih menarik dan kononnya dapat mempercepatkan proses pemulihan, lebih ‘mesra’ kepada pemain,” katanya.
Menurut Kenny, bagi membolehkan sistem baharu itu dilaksanakan secara rasmi, BWF memerlukan sokongan sekurang-kurangnya dua pertiga daripada kira-kira 200 ahli gabungan seluruh dunia.
Kelmarin, BWF menerusi satu kenyataan berkata, Majlis BWF bersetuju untuk mencadangkan sistem 15 mata sebagai format pemarkahan rasmi pertandingan.
Malaysia antara negara memiliki pengaruh besar dalam pengundian tersebut apabila memegang jumlah maksimum lima undian berdasarkan kriteria tadbir urus dan jumlah pemain berdaftar yang ditetapkan BWF.
Dalam perkembangan lain, Kenny turut mengesahkan BAM telah menerima surat peletakan jawatan pemain beregu wanita, Go Pei Kee, namun ia masih dalam peringkat pertimbangan.














