SHAH ALAM – Pengusaha 66 plot nurseri di sepanjang Jalan Sungai Buloh bakal menerima bayaran ex-gratia RM10, 000 secara one-off bagi pelaksanaan projek pembesaran dan pembinaan jalan bertingkat di Kwasa Damansara.
Exco Infrastruktur dan Pertanian, Datuk Izham Hashim berkata, projek infrastruktur itu penting untuk melancarkan aliran trafik, meningkatkan kesalinghubungan kawasan serta menyokong pertumbuhan ekonomi di koridor Sungai Buloh Damansara.
Katanya, pelaksanaannya telah tertangguh dalam tempoh yang lama, antara lain disebabkan isu pendudukan tapak yang masih belum diselesaikan secara menyeluruh.
“Kerajaan negeri telah mempertimbangkan kadar RM10,000 bagi setiap plot yang terjejas secara langsung oleh projek pembesaran jalan ini.
“Pendekatan ini diputuskan selepas mengambil kira bahawa kawasan terlibat merupakan Tanah Kerajaan yang telah diduduki tanpa sebarang dokumen pemilikan atau kelulusan rasmi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau memaklumkan, pembayaran ex-gratia ini adalah bersifat saguhati, bertujuan membantu peralihan dan bukan suatu pengiktirafan hak milik atau
pendudukan kekal.
Tambah Izham, pelaksanaan pembayaran akan diselaraskan oleh agensi pelaksana yang dilantik.
“Selepas pembayaran dan tempoh yang ditetapkan, proses pengosongan tapak serta tindakan susulan akan dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada bagi memastikan projek pembesaran jalan ini dapat dilaksanakan tanpa kelewatan lanjut,” katanya. – KOSMO! ONLINE














