SEMPENA sambutan perayaan Tahun Baharu Cina yang bakal menjelang tidak lama lagi, HibGlam menyenaraikan beberapa selebriti berbangsa Cina yang berjaya mencipta nama dalam industri lakonan tempatan.
Sebenarnya daripada dahulu sehingga kini, industri lakonan tempatan membuka ruang kepada mereka yang berbakat tanpa mengira kaum asalkan boleh berbahasa kebangsaan dengan baik.
Mengenang kembali sekitar tahun 1980-an dan 1990-an, nama-nama seperti Janet Khoo, Nancy Foo, Kenji Sawahi, Elaine Kang dan Angelina Tan cukup popular dalam kalangan peminat hiburan berbangsa Melayu.
Senario yang sama pada hari ini , antara nama besar yang dikenali ramai adalah Elizabeth Tan, Sean Lee dan Alvin Chong. Faktor industri seni bersifat terbuka menyebabkan lebih ramai pelakon berbangsa Cina memilih untuk bekerja dalam industri lakonan tempatan.

Mekyun
Mekyun atau nama sebenarnya Wee Yun Nee, 29, merupakan seorang pempengaruh yang terkenal dengan keunikan membawa silang budaya dan keharmonian masyarakat majmuk.
Berasal dari Kelantan, wanita itu berjaya memikat hati orang ramai apabila menggunakan dialek Kelantan dan berbahasa Melayu dalam setiap kandungan digitalnya. Selain popular sebagai pempengaruh, graduan Kejuruteraan Elektrik dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) juga terjun ke dunia lakonan. Tidak kekok berlakon dalam industri yang dipelopori bangsa Melayu, Mekyun telah membintangi beberapa filem dan drama seperti Hantu Mok Joh serta Perang Nasi Dagang.

Andy Teh
Andy Teh atau nama sebenarnya, Andy Teh Kim Huat, 41, merupakan seorang pelakon yang versatil dan kebanyakan karyanya meninggalkan impak. Biarpun telah berlakon dalam pelbagai karya antaranya, filem Pendekar Awang: Darah Indera Gajah, Sangkar, Wira dan Abah Saya, Uncle Mike, namun watak Pablo dalam nashkah Blood Brothers: Bara Naga membawa tuah kepadanya. Namanya semakin dikenali dan kini antara pelakon berbanga Cina yang semakin laris dalam pasaran lakonan tempatan.

Daniel Fong
Pelakon yang memulakan karier seni pada 2016 menerusi drama Cina tempatan dan namanya mula meledak sejak terjun ke dunia lakonan berbahasa Melayu sejak tiga tahun lepas.
Daniel atau nama sebenarnya, Daniel Fong Weng Chuan, 33, mengakui kini sudah selesa bekerja dalam industri lakonan Melayu kerana penerimaan positif bukan sahaja daripada peminat tetapi juga warga industri.
Bahkan dia juga mendapat tunjuk ajar daripada aktor Cina yang terlebih dahulu mencipta nama dalam pasaran tempatan iaitu Sean Lee dan Alvin Chong.
Antara drama lakonannya adalah Kerana Seorang Lelaki, Bintang, Generasi: Perfect 10, Hijrah Jannah, Mualaf Ekspres dan Hantu Karipap.

Fabian Loo
Aktor ini memulakan karier seni menerusi bidang teater dan dikenali menerusi wataj Ash dan Chen dalam drama rantaian popular One Cent Thief.
Sejak berkecimpung dalam bidang lakonan Fabian telah terlibat dalam 19 buah filem, antaranya Paskal, Merewang Keluarga Pak Awang dan Magik Rompak.
Fabian juga telah merangkul trofi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik di Festival Filem Asia Pasifik (APFF) Ke-61 menerusi lakonannya dalam filem Rain Town arahan Tunku Mona Riza.

Henley Hii
Henley Hii memulakan karier sebagai penyanyi dan penulis lagu, kini popular sebagai pelakon. Henley meraih perhatian khalayak menerusi watak Joshua yang dilakonkan dalam filem aksi ketenteraan, Paskal pada 2018.
Komitmen yang diberi untuk setiap watak terutama naskhah melibatkan unit beruniform membuahkan hasil. Dia sememangnya dikenali dalam karya sedemikan antaranya, Wira, Martabat: Misi Berdarah dan Legasi: Bomba The Movie.














