PETALING JAYA – Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) mencatat sejarah tersendiri apabila merekodkan keuntungan tertinggi selama dua tahun berturut-turut sejak penubuhannya, hasil pelaksanaan urus tadbir yang telus dan reformasi menyeluruh.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, Nafas merekodkan keuntungan sebanyak RM227 juta pada 2024 dan RM201 juta pada 2025, sekali gus membuktikan keberkesanan hala tuju baharu organisasi itu.
“Ini bukan angka kecil. Ia hasil kerja kuat semua pihak, daripada pengurusan tertinggi hingga ke ahli-ahli peladang di peringkat akar umbi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, reformasi yang dilaksanakan bukan sekadar untuk memperindah laporan kewangan atau memberi keuntungan kepada segelintir pihak, sebaliknya bertujuan memastikan manfaat sebenar dirasai oleh peladang.
Katanya, menerusi Pelan Reformasi Nafas 2026–2030, penekanan akan terus diberikan kepada pengukuhan tadbir urus, integriti dan pengurusan kewangan yang lebih berdisiplin bagi memastikan setiap sen milik ahli diurus dengan sebaiknya.
“Keuntungan yang dijana mesti kembali kepada peladang. Bila Nafas kuat, peladang akan lebih terbela,” ujarnya.
Mohamad berkata, kekuatan institusi peladang juga menjadi tunjang penting kepada keterjaminan makanan negara, selari dengan usaha kerajaan memastikan sektor pertanian kekal mampan dan berdaya saing.
“Insya-Allah, matlamat kita bukan sekadar mencari untung, tetapi mengangkat martabat peladang di seluruh negara,” katanya.- KOSMO! ONLINE.














