BENTONG – Tiada kes sengaja dilewatkan atau ‘diperam’ dalam siasatan yang dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Pengerusi Panel Penilaian Operasi (PPO), Datuk Ahmad Rosli Mohd. Sham berkata, kebanyakan kertas siasatan badan itu berjaya diselesaikan dalam tempoh masa yang ditetapkan, termasuk had siasatan tidak melebihi 12 bulan.
Menurut beliau, jarang sekali ahli panel mempersoalkan kegagalan mencapai sasaran masa, namun jika berlaku, pihaknya akan segera mendapatkan penjelasan.
“Setakat ini tiada isu. Kami tidak jumpa keadaan di mana siasatan sengaja dilewatkan atau kes diperam,” katanya ketika ditemui pada Bengkel Kewartawanan: Memahami Peranan SPRM Dalam Usaha Memerangi Rasuah, di Genting Highland semalam.
Mengulas lanjut, Ahmad Rosli menjelaskan PPO bukan sekadar memantau aspek kecekapan, malah turut meneliti semula kes yang diklasifikasikan tiada tindakan lanjut (NFA).
Katanya, penilaian dibuat bagi memastikan tiada kelemahan dalam siasatan, selain memberi cadangan penambahbaikan sekiranya perlu.
“Jika terdapat sudut siasatan yang belum diambil kira, kita akan beri nasihat supaya ia diperhalusi, termasuk kemungkinan wujud kesalahan lain walaupun bukan melibatkan rasuah,” ujarnya.
Terdahulu dalam ceramahnya, beliau memaklumkan sebanyak 1,869 kertas siasatan dengan keputusan NFA dibentangkan kepada PPO bagi tempoh 2009 hingga tahun lalu.
Daripada jumlah itu, 1,760 keputusan dipersetujui, manakala 136 kertas siasatan diarahkan supaya disemak semula.
Tambah beliau, SPRM sentiasa terbuka menerima teguran panel termasuk saranan memperkukuh kepakaran pegawai penyiasat.
“Tiada sikap defensif. Mereka ambil kira setiap komen yang kita berikan,” katanya. – KOSMO! ONLINE














