fbpx
MOHD. ABDUL HADI (kanan) dan Jantan menunjukkan perangkap beruang yang dipasang di Kampung Padang Ping, Dungun semalam.

Beruang matahari ‘kenduri’ kelapa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DUNGUN – Kira-kira 250 penduduk Kampung Padang Ping, di sini hidup dalam keresahan berikutan ancaman dua ekor beruang matahari yang terse­sat masuk ke perkampungan mereka sejak dua minggu lalu.

Dua ekor haiwan liar itu juga telah banyak merosakkan tanaman pokok kelapa penduduk sehingga menyebabkan kerugian puluhan ribu ringgit.

Seorang penduduk, Mohd. Abdul Hadi Mat Yusoff, 38, mendakwa, hampir 50 batang pokok kelapa miliknya dan penduduk kampung lain telah musnah dikerjakan dua beruang matahari berkenaan.

“Sebahagian pokok kelapa yang musnah itu sudah berbuah, namun kami tidak sempat menikmati hasilnya.

“Setakat ini, kerugian yang kami alami akibat kerosakan kebun kelapa dianggarkan le­bih RM10,000,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Kampung Padang Ping, di sini semalam.

Katanya, dua ekor beruang matahari itu juga sudah mendekati pe­nempatan penduduk sekali gus merisaukan orang ramai.

Sementara itu, Jantan Abdul Rahman, 65, berkata, dua ekor beruang matahari berkenaan ditemui berhampiran rumah­nya pada pukul 4 petang, Jumaat minggu lalu.

“Saya yang ketika itu bersama isteri dan sebahagian anak dan cucu yang sedang rancak berborak di beranda rumah tergamam melihat seekor beruang matahari dewasa berkeliaran kira-kira 20 meter dari pekarangan rumah.

“Tidak lama kemudian, seekor lagi beruang matahari bersaiz lebih kecil hadir memakan sampah berhampiran. Kami lari masuk rumah untuk menyelamatkan diri,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Loo Kean Seong berkata, perangkap telah dipasang di Kampung Padang Ping pada 2 Febuari lalu.

“Sebuah perangkap juga telah dipasang ke Kampung Dendang yang terletak berse­belahan kampung itu.

“Kami telah menerima aduan kehadiran dua beruang matahari itu pada 30 Januari lalu. Saya mohon penduduk setempat berhati-hati,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN